MODUL 7
TEORI PERLAKUAN
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
Perkaitan Subjek:
Modul ini mendedahkan pelajar kepada bidang teori Perlakuan.
Tumpuan adalah diberi kepada latar belakang teori; falsafah dan
konsep penting teori perlakuan; rasional perubahan personaliti;
proses kaunseling perlakuan.
Sumber Pembelajaran:
1. Pandangan umum tentang kandungan modul
2. Konsep penting dalam teori perlakuan
3. Bahan bacaan
Tajuk Pembelajaran:
Modul yang berikut akan membantu pelajar memahami secara umum
tentang asas teori perlakuan:
1. Pengenalan kepada teori perlakuan
2. Pendekatan dan kontinum Teori Perlakuan
3. Model Analisis Penerapan Tingkahlaku
4. Model Klasik Rangsangan-Gerak Balas
5. Model Pembelajaran Sosial
6. Model Modifikasi Tingkahlaku Kognitif
7. Kaunseling mengikut Teori Perlakuan
8. Matlamat kaunseling
9. Teknik Kaunseling Modifikasi Perlakuan
Kaedah Belajar:
Membaca, memikir kembali dan menganalisis nota.
Penilaian:
1. Setelah anda membaca sebahagian atau
keseluruhan modul ini, sila jawab soalan uji sendiri.
Teks Wajib:
Othman Mohamed (2000). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling.
Serdang, Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Othman Mohamed, Rahil Mahyuddin & Abd Majid Isa. (1995). Asas Pendidikan IV.
Kuala Lumpur: Longman.
TOPIK 1: PENGENALAN TEORI PERLAKUAN
Teori perlakuan berasaskan pendekatan tindakan yang mekanikal.
Tingkahlaku manusia dilihat sebagai objek yang mempunyai gerak
balas yang tertentu. Gerak balas ini pula bergantung pada satu
cara rangsangan yang boleh mempengaruhi tingkahlaku manusia.
Sebagai satu pendekatan yang mekanistik dan kuantitatif, teori ini
menggunakan kaedah yang melibatkan pengukuran dan penilaian yang
sangat objektif dalam penyelenggaraan proses kaunseling.
Antara pengasas teori ini, Ivan Pavlov dan Joseph Wolpe
mengemukakan teori perlakuan pelaziman klasik; manakala teori
perlakuan pelaziman operan dipelopori oleh B. F. Skinner dan J. B.
Watson. Teori ini juga mempunyai pengaruh dalam aspek sosialisasi
dengan teori pembelajaran sosial yang dikemukakan oleh Bandura.
Perkembangan teori ini begitu pesat sekarang. Pada tahun-
tahun enam puluhan dan tujuh puluhan, satu ciri baru mula
diperkenalkan dengan pendekatan yang menggabung penerapan
tingkahlaku dengan pemikiran daya kognitif. Permulaan era baru ini
meletakkan teori perlakuan pada satu kontinum yang lebih mencabar
dan berkesan. Terletak pada satu penghujung kontinum ini adalah
pendekatan yang menumpu ke arah analisis penerapam tingkahlaku,
dipelopori oleh Skinner. Manakala satu penghujung yang lain adalah
pendekatan yang menumpu ke arah modifikasi tingkahlaku kognitif
seperti yang diguna oleh A. T. Beck.
Fahaman perlakuan berpendapat bahawa neurosis dipelajari
melalui proses pembelajaran. Ciri empirikal dipentingkan dan
tingkahlaku bergerak dengan sistem peraturannya yang boleh
ditentukan. Interaksi antara kaunselor dengan klien seperti yang
difahami dalam pengendalian proses kaunseling cara pemusatan
perorangan tidak diamalkan sepenuhnya. Kepentingan hubungan
kaunselor dengan klien lebih mirip sebagai perantara yang dapat
mengubah persekitaran bagi menggerakkan perubahan gerak balas
tingkahlaku klien.
Lazimnya teknik kaunseling terjelma hasil daripada pengalaman
interaksi hubungan insan dan suasana sebenar yang berlaku bagi
mencari cara mengatasi sesuatu kesulitan. Kaunseling pendekatan
perlakuan juga menggunakan teknik tertentu sebagai daya bagi
mengatasi sesuatu kesulitan. Walau bagaimanapun tekniknya semata-
mata berupa punca manipulasi objek bagi mendatangkan matlamat
tertentu. Tekniknya lebih mirip secara sengaja dan dirancangkan
bagi mengubah tingkahlaku klien.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
----------------------------------------------------------------
Kata Kunci:
perlakuan
tingkahlaku
rangsangan dan gerak balas
SOALAN UJI SENDIRI
Tandakan / bagi yang betul:
1. Terapi Perlakuan mementingkan orang sebagai objek.
Betul _____ Salah _____
2. Pengasas pendekatan pelaziman klasik ialah:
Ivan Pepinsky ____
Ivan Pavlov ____
Ivan Pavez ____
3. Pengasas pendekatan pelazim operan ialah B. F Skinner.
Betul _____ Salah _____
------------------------------------------------------------------
TOPIK 2: PENDEKATAN DAN KONTINUM TEORI PERLAKUAN (Bahagian 1)
Pengetahuan berkembang dan pendekatan teori perlakuan tidak
terkecuali daripada hakikat ini. Pada masa sekarang, terapi
perlakuan banyak berkongsi teknik dengan cara psikoterapi lain.
Penerapan dan penyesuaian tertumpu kepada penggunaan kaedah yang
singkat dan lebih terarah. Secara mekanistik, terapi perlakuan
banyak menumpukan arahan dari kaunselor kepada kliennya. Walau
bagaimanapun, penggunaan teknik berbeza mengikut aliran pendekatan
mirip teori perlakuan yang tertentu. Terdapat empat mirip
pendekatan yang terletak pada kontinum A -- B seperti berikut: 1)
Analisis Penerapan Tingkahlaku; 2) Model Klasik Rangsangan-gerak
balas; 3) Teori Pembelajaran Sosial; 4) Modifikasi Tingkahlaku
Kognitif (lihat rajah 1).
A B
<----------------------------------------------------->
1 2 3 4
Rajah 1
Model analisis penerapan tingkahlaku. Pendekatan ini melihat
bahawa tingkahlaku sebenarnya adalah akibat daripada suatu
rangsangan. Kawalan peneguhan ke atas sesuatu rangsangan itu pula
akan mengubah tingkahlaku. Pendekatan ini menggunakan prinsip
pelaziman operan dan pengukuran sama ada berkesannya aliran
peneguhan dinilai daripada hasil kesan rangsangan yang baru.
Paradigma analisis perlakuan ini dapat dicerap dari rajah 2.
R --------------> P ----------> GB
Rangsangan Peneguhan Gerak Balas
Rajah 2
Tingkahlaku (GB) terhasil dari rangsangan (R). Rangsangan
ditambah dengan peneguhan. Akibat dari proses ini maka berlaku
satu gerak balas. Contohnya, seorang pelajar yang nakal di dalam
bilik darjah. Pelajar melakukan sesuatu yang tidak disenangi guru
X, seperti buat bising. Setiap kali pelajar tersebut buat bising,
beliau akan dimarahi guru X bersamaan dengan pandangan serta mimik
muka guru X yang garang. Pelajar akan diam. Pada keadaan yang
lain, apabila pelajar buat bising, dan pelajar melihat muka guru Y
dengan mimik mukanaya yang garang, pelajar akan menukar tingkah
lakunya menjadi diam.
Membuat bising merupakan rangsangan, dan bagi menghapuskan
tingkahlaku buat bising tadi, pelajar dimarahi bersamaan dengan
gandingan muka marah. Pengalaman dimarahi diingati oleh pelajar
dengan gandingan muka marah. Pada keadaan yang lain, mimik muka
marah sudah mencukupi bagi mengubah tingkahlaku untuk pelajar diam.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
-----------------------------------------------------------------
Kata Kunci:
kontinum
analisis penerapan tingkahlaku
pelaziman operan
-------------------------------------------------------------------
SOALAN UJI SENDIRI
1. Tiga model pendekatan terapi perlakuan adalah:
a) Model Klasik Rangsangan-Gerak Balas ____
b) Model Perorangan dan Pelaziman ____
c) Model Modifikasi Perlakuan Kognitif ____
d) Model Analisis Rasional ____
e) Model Pembelajaran Sosial ____
2. Struktur aliran pelaziman operan meletakkan elemen
peneguhan selepas sesuatu gerak balas berlaku.
Betul ____ Salah ____
_____________________________________________________________
TOPIK 3: PENDEKATAN DAN KONTINUM TEORI PERLAKUAN (Bahagian 2)
Model klasik rangsangan-gerak balas. Pendekatan ini menerap
prinsip pelazimzn klasik dan penghindaran yang mula diasas oleh
Ivan Pavlov. Prinsipnya menggunakan paradigma pembolehubah
perantara bagi menghasilkan perubahan tingkahlaku. Rajah 3
menunjukkan kaedah mudah prinsip rangsangan dan gerak balas.
R -------------------> GB ----------> P
Rangsangan Gerak Balas Peneguhan
Rajah 3
Dalam model ini, tingkahlaku (GB) terhasil dari rangsangan.
Tingkahlaku tersebut diperkukuh dengan wujudnya peneguhan (P)
selepas terhasil tingkahlaku yang baru. Contohnya, seorang pelajar
selepas tamat sekolah terdengar bunyi loceng penjaja di luar
kawasan sekolah. Pelajar mendekati penjaja tersebut dan mendapati
penjaja menjual ais krim. Pelajar membeli ais krim dan menikmati
kelazatan ais krim. Perkara ini berulang setiap hari. Akibatnya,
setiap kali loceng berbunyi, pelajar akan mengingati kelazatan ais
krim dan keinginan membeli dan mendapatkan ais krim akan menjadi
satu desakan dalam diri.
Pada mulanya bunyi loceng merupakan rangsangan tidak terlazim.
Pelajar membeli ais krim dan menghirup ais krim merupakan gerak
balas. Pelajar dapat merasa kelazatan ais krim merupakan peneguhan
ke atas gerak balasnya membeli ais krim. Pelajar tetap akan
mengingati serta gambaran imej pengalamannya dapat menikmati
kelazatan ais krim. Pada masa yang lain, bunyi loceng yang sama
sudah mencukupi bagi pelajar mengingati ais krim. Bunyi loceng
sudah berubah menjadi rangsangan terlazim. Pelajar akan sentiasa
tergerak membeli ais krim selepas tamat waktu sekolah.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
-------------------------------------------------------------------
Kata Kunci:
Pelaziman klasik
-------------------------------------------------------------------
TOPIK 4: PENDEKATAN DAN KONTINUM TEORI PERLAKUAN (Bahagian 3)
Teori pembelajaran sosial.
Pada akhir tahun 1960, penyelidikan tentang teori perlakuan mula berkembang
lebih luas menjangkau alam sosial. Pendekatan perlakuan tidak lagi terikat
dengan alam eksperimen dengan pelaziman klasik dan pelaziman operan
sahaja. Perkembangan dalam bidang psikologi sosial, personaliti
telah memulakan terapis dalam bidang ini merintis dan meneroka
aspek pembelajaran yang dilalui individu dalam kehidupannya
seharian dalam alam masyarakat yang sebenar. Bandura mengemukakan
satu bentuk pendekatan perlakuan yang menumpu pada pembelajaran
sosial. Struktur pembelajaran berasaskan pada sistem interaksi
antara tiga aspek berikut: 1) rangsangan dari acara luaran; 2)
peneguhan luaran; dan 3) proses perantara secara kognitif.
Pendekatan pembelajaran sosial ini menggunakan prinsip
kesalingan dalam interaksi manusia dengan alam persekitarannya.
Manusia dianggap sebagai agen perubahan dan mempengaruhi
persekitarannya dengan cara pembelajaran mengikut percontohan.
Manusia mempunyai daya rangsangan pemikiran yang boleh menggerakkan
proses secara simbolik serta berupaya membuat peraturan pilihannya
secara sendiri.
Kefahaman seperti ini memberi penekanan bahawa tingkahlaku
ditumpukan ke arah individu dan huraian analisis tentang individu
dikaitkan dengan keadaan kehidupan psikologikalnya. Tingkahlaku
mula difahami dengan menumpu pada cara individu berinteraksi dengan
orang lain yang signifikan dalam masyarakat. Di samping berupaya
mengubah tingkahlaku mereka mengikut matlamat dan ideal yang
dikehendaki sealiran dengan usaha memahami budaya alam
sekelilingnya.
Pendekatan modifikasi tingkahlaku kognitif. Pendekatan ini
menumpu kepada tingkahlaku hasil daripada pengstrukturan kognitif.
Pengalaman seseorang digandingkan dengan cara individu tersebut
mentafsir tingkahlakunya. Pentafsir yang tidak rasional boleh
mengakibatkan tingkahlaku yang bercelaru. Dalam pendekatan ini,
manusia tidak dianggap hanya sebagai objek. Interaksi dan tingkah
laku antara insan tidak berlaku tanpa wujudnya perasaan dan
pemikiran. Elemen ini merupakan tumpuan induk dalam kefahaman
modifikasi tingkahlaku kognitif.
Individu dalam proses interaksi sentiasa bergerak balas kepada
rangsangan alam sekitarnya dan saling membuat pentafsiran tertentu
serta menukarkan persepsinya kepada suatu tingkahlaku. Walau
bagaimanapun, setiap individu akan membuat pentafsiran yang berbeza
berasaskan kepada pengalaman dan pentafsiran subjektifnya terhadap
rangsangan alam persekitarannya.
Unsur inilah yang membezakan antara pendekatan modifikasi
tingkahlaku kognitif dengan pendekatan perlakuan pelaziman klasik.
Pembolehubah perorangan menjadi satu elemen penting kerana
kesalingan antara individu dengan persekitarannya melibatkan
pengalaman sosial individu tersebut berserta dengan perkembangan
kognitifnya. Suasana ini juga melibatkan jangkaan individu
tersebut terhadap apa yang dikehendaki, di samping perlu mengikuti
segala peraturan yang ada di dalam masyarakatnya.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
______________________________________________________________________
Kata Kunci:
pembelajaran sosial
percontohan
kesalingan
modifikasi tingkahlaku kognitif
pengstrukturan kognitif
-------------------------------------------------------------------
SOALAN UJI SENDIRI
1. Ciri peneguhan tidak perlu dipentingkan dalam mengenal
pasti rangsangan semasa mencorakkan aliran struktur
pelaziman klasik.
Betul ____ Salah ____
2. Huraikan konsep kesalingan dalam model pembelajaran
sosial.
3. Perasaan dan pemikiran tidak penting sebagai pembolehubah
dalam model modifikasi tingkahlaku.
-------------------------------------------------------------------
TOPIK 5: KAUNSELING MENGIKUT TEORI PERLAKUAN
Proses terapi. Proses kaunseling dalam terapi perlakuan
memerlukan kerja sama yang erat antara kaunselor dengan klien.
Suasana pengajaran dan pembelajaran sangat ketara dalam proses
kaunseling yang dijalankan kerana banyak arahan yang diguna oleh
kaunselor bagi tujuan memudahkan klien faham tindakan yang wajar
dilaksanakan.
Kaunselor mesti faham diri klien dan mempunyai kepercayaan
bahawa klien boleh berubah tingkahlakunya. Perkara yang penting
adalah kehendak klien yang mahukan pengubahan baik dari segi
kehendaknya mengurangkan atau mengatasi sesuatu tingkahlaku.
Sudah tentunya hubungan antara kaunselor dengan klien juga
memerlukan keredhaan penerimaan positif tanpa syarat. Corak
hubungan ini dapat menghindarkan rintangan bagi memudahkan
pengumpulan maklumat.
Dalam terapi perlakuan, pengumpulan maklumat sangat penting
bagi mengatur strategi perlaksanaan modifikasi tingkahlaku klien.
Maklumat yang terkumpul diguna sebagai garisan data asas bagi
tujuan menganalisis tentang masalah atau kerumitan yang dialami
klien. Kaunselor bertanggung jawab menganalisis data yang
terkumpul. Sudah tentunya semasa proses kaunseling dijalankan,
analisis dilakukan secara pemikiran dalaman oleh kaunselor.
Proses pemikiran dan analisis secara dalaman ini memerlukan
keupayaan kaunselor bergerak dengan pantas bagi memberikan maklum
balas kepada klien tentang tingkahlakunya. Masalah yang dialami
klien mesti didefinisikan supaya kaunselor dan klien jelas dan
faham tentang masalah yang hendak ditangani. Kaunselor perlu
menggunakan kemahiran penjelasan bagi menerangkan keadaan sebenar
di samping mengatur corak modifikasi tingkahlaku yang wajar bagi
dilaksanakan.
Walau pun cara modifikasi tingkahlaku ini lebih bercorak
mekanikal kerana mementingkan penerapan rangsangan yang sesuai,
hubungan antara kaunselor dengan klien tetap mesti dijalin.
Hubungan ini akan dapat terjelma hanya dengan menerapkan kemahiran
melayan yang baik ke atas diri klien.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
------------------------------------------------------------------
Kata Kunci:
pengajaran
pengupulan maklumat
garisan data asas
analisis
mekanikal
-----------------------------------------------------------------
TOPIK 6: MATLAMAT KAUNSELING
Matlamat biasanya adalah matlamat yang diinginkan oleh klien.
Matlamat perlu dapat dijelaskan secara tingkahlaku. Ini memberi
erti bahawa matlamat dapat diperincikan secara spesifik sebagai
perkara yang boleh dilakukan oleh klien selepas menempuhi proses
kaunseling.
Tujuan perubahan juga diolah agar dapat membantu kaunselor
cara bagaimana prosidur serta teknik yang sesuai bagi menepati
tingkahlaku yang dikehendaki itu. Dalam hal ini, kaunselor
berupaya memilih apa sahaja cara atau teknik asalkan berjaya.
Matlamat seperti ini sudah tentunya mirip ke arah membuat
kerja. Kaunselor dengan klien menentukan apakah tingkahlaku yang
baik dan tidak baik, sesuai dengan kebudayaan setempat.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
------------------------------------------------------------------
TOPIK 7: TEKNIK KAUNSELING MODIFIKASI PERLAKUAN
Antara teknik yang boleh diguna dalam terapi perlakuan adalah
seperti berikut: 1) penilaian; 2) mainan peranan; 3) gambaran imej;
dan 4) desensitisasi bersistem.
Penilaian. Teknik kaunseling perlakuan berasaskan pada
maklumat data asas yang terkumpul oleh kaunselor. Data asas adalah
penting bagi memulakan satu rancangan struktur terapi yang
berkesan. Hubungan interaksi antara kaunselor dengan klien juga
memerlukan kaunselor bersifat berempati untuk mendapat kefahaman
yang dikemukakan oleh klien. Teknik kaunselingnya juga memerlukan
kemahiran kaunseling yang tepat, di samping kaunselor berupaya
mengguna kaedah klinikal yang jitu serta peka dengan kehendak
perubahan tingkahlaku klien.
Proses penilian memerlukan kaunselor mendapatkan segala
maklumat tentang masalah yang dialami oleh klien. Kaunselor perlu
mengumpul maklumat tentang masa, cara masalah berlaku, cara yang
diusaha oleh klien bagi mengatasi masalah, tempat, keadaan trauma
yang pernah dialami, pengalaman klien dan berbagai lagi ciri
maklumat tentang masalah yang dihadapi oleh klien.
Cara kaunselor menyoal dalam proses temuduga bagi mendapat
maklumat adalah penting. Soalan yang bermula dengan perkataan
mengapa wajar dihindar; manakala soalan yang bermula dengan
bagaimana, apakah, bilakah, dan dimana wajar digalakkan. Walaupun
hasil dari persoalan yang dikemukan, kaunselor akan mendapat
maklumat tetapi kaunselor tidak semestinya akan menerima sepenuhnya
jawapan yang diberi oleh klien. Kepekaan kaunselor dalam
mengenalpasti dan mencerap cara klien menjawab juga penting.
Kaunselor sentiasa akan peka pada gerak geri dan cara klien
menjawab bagi mencerap ciri yang tidak konsisten, cuba mengelak
sesuatu atau membuat sesuatu yang terpesong dari yang benar.
Satu cara bagi mendapat penilaian dari klien adalah dengan
mengguna laporan swadiri yang dibuat oleh klien. Laporan seperti
ini pada biasanya lebih baik bagi pengumpulan maklumat tentang
khayalan klien, pemikirannya dan juga perasaan mereka. Di samping
ini, peranan kaunselor sebagai pembimbing memang terserlah dalam
terapi perlakuan kerana keperluan secara terarah bagi mendapat
maklumat.
Mainan peranan. Satu teknik yang diguna dalam terapi
perlakuan ialah mainan peranan. Cara ini sesuai dalam menangani
masalah interaksi. Biasanya kaunselor bersetuju untuk mengambil
atau memainkan peranan orang yang klien menghadapi bermasalah untuk
berinteraksi. Dengan cara ini, kaunselor dapat mengenalpasti
masalah induk yang klien hadapi dalam interaksinya dengan orang
tersebut. Selanjutnya, kaunselor akan mampu untuk cuba mengubah
tingkahlaku celaru yang dialami oleh klien dengan mengguna teknik
sampingan seperti latihan ketegasan diri, pelaziman, dan
sebagainya.
Gambaran imej. Teknik gambaran imej boleh memberi ingatan
yang lebih jelas kepada klien tentang acara atau pengalaman yang
dilalui sama ada yang lampau, sekarang atau yang akan datang. Cara
ini dapat menyenangkan klien secara menggunakan simbol dalam
imejnya tentang perkara yang menjadi kerumitannya. Di samping ini,
kaunselor juga akan dapat persepsi serta penilaian yang lebih jelas
tentang masalah klien setelah klien menghuraikan acara yang telah
dialaminya dalam gambaran imej secara lisan.
Desensitisasi bersistem. Teknik ini menerapkan penggunaan
gambaran imej dengan latihan relaksasi bagi menghasilkan suasana
selesa yang boleh diterima klien. Desensitisasi bersistem biasanya
diguna sebagai satu teknik bagi menghindar keadaan keresahan yang
dialami klien. Proses permulaannya adalah dengan mengasingkan
terlebih dahulu acara yang menjadi pemangkin keresahan atau
kegelisahan yang sedang dialami klien. Keadaan ini diukur dalam
satu bentuk kontinum antara acara yang meresahkan hingga satu
penghujunag yang sangat mengancam ketenteraman klien.
Latihan relaksasi secara beransur biasanya diterap sebagai
elemen penghindar yang bertentangan dengan perasaan dan pemikiran
keresahan atau kegelisahan. Kaunselor akan mengasuh klien
membayangkan atau mengambarkan dalam bentuk satu hairaki imej
bermula dengan acara yang kurang meresahkan dan beransur-ansur
bergerak ke arah hairaki yang lebih tinggi dengan keadaan yang
paling mengancam klien. Proses relaksasi disematkan ke dalam imej
klien semasa klien mengambarkan imej-imej yang dirasakan kurang
selesa, sehingga imej tersebut bertukar menjadi selesa pada
pandangan dan pemikiran klien. Proses in diulang dan kaunselor
akan hanya memimpin klien bergerak ke tahap hairaki lebih tinggi
apabila klien sudah mampu menangani keadaan keresahan yang baru
dilalui dalam latihannya.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
------------------------------------------------------------------
Kata Kunci:
penilaian
gambaran imej
mainan peranan
desensitisasi bersistem
------------------------------------------------------------------
SOALAN UJI SENDIRI
1. Huraikan penggunaan gambaran imej dalam terapi perlakuan.
Pindah ke laman forum dan maklum balas
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed) ------------------------------------------------------------------