MODUL 6
TEORI PSIKOLOGI INDIVIDU ALFRED ADLER
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
Perkaitan Subjek:
Modul ini mendedahkan pelajar kepada bidang teori
psikologi individu Alfred Adler. Tumpuan adalah diberi
kepada latar belakang teori; falsafah dan konsep penting
teori psikologi individu; rasional perubahan personaliti;
proses kaunseling psikologi individu.
Sumber Pembelajaran:
1. Pandangan umum tentang kandungan modul
2. Konsep penting dalam teori psikologi individu
3. Bahan bacaan
Tajuk Pembelajaran:
Modul yang berikut akan membantu pelajar memahami
secara umum tentang asas teori psikologi individu:
1. Pengenalan kepada teori psikologi individu
2. Proses terapi
3. Teknik kaunseling mengunakan pendekatan psikologi
individu
4. Kaedah analisis dan pentafsiran dalam proses
kaunseling psikologi individu
Kaedah Belajar:
Membaca, memikir kembali dan menganalisis nota.
Penilaian:
1. Setelah anda membaca sebahagian atau
keseluruhan modul ini, sila jawab soalan uji
sendiri.
Teks Wajib:
Othman Mohamed (2000). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan dalam Kaunseling. Serdang,
Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Corsini, R. J.(1984). Current Psychotherapies. USA: P.E. Peacock Publishers Inc.
TOPIK 1: PENGENALAN KEPADA PSIKOLOGI INDIVIDU
Psikologi Individu yang dipelopori oleh Alfred Adler
(1870-1937) menumpukan analisis psikologi manusia dari
aspek secara keseluruhan. Fahaman pendekatan ini
merangkumi kepercayaan bahawa seorang individu itu adalah
kreatif, dan bersifat bertanggungjawab. Di samping itu
seorang individu juga sentiasa berusaha bergerak ke arah
suatu matlamat dalam lingkungan hidupnya.
Apabila dilihat dari aspek struktur personaliti dan
penngunaan konsep asas, psikologi individu berbeza dengan
psikoanalisis dari aspek perkembangan personaliti seorang
individu itu sendiri. Keadaan ini adalah ketara kerana
psikologi individu tidak menganggapkan personaliti
manusia itu boleh dibahagi-bahagikan sepertimana
psikoanalisis dengan id, ego, dan superego. Individu
perlu dianalisis secara holistik, bermaksud secara
keseluruhan. Konsep ini memberi erti bahawa emosi,
pemikiran dan tingkahlaku tidak dapat dipisahkan.
CIRI UTAMA DALAM PSIKOLOGI INDIVIDU
Matlamat hidup dan tingkahlaku yang bermakna. Teras
psikologi individu menumpu kepada ciri-ciri sosial dalam
diri manusia. Pandangan ini berpendapat bahawa manusia
sentiasa bergerak ke arah sesuatu matlamat dan secara
tidak disedari mirip bagi menganalisis tingkahlakuya.
Ciri-ciri ini memberi fokas kepada analisis secara
subjektif dengan mengambilkira kepentingan individu itu
dengan masyarakatnya. Pandangan ini diperkukuhkan dengan
anggapan bahawa manusia itu perlu berinteraksi serta
bertindakbalas dengan alam sekitarnya. Aspek inilah yang
memberi kesan yang penting kepada pengertian minat sosial
dalam perkembangan personaliti manusia mengikut psikologi
individu.
Minat sosial. Konsep ini penuh kaitannya dengan
sifat manusia dalam fahaman psikologi individu. Seorang
individu bergerak sedemikian rupa untuk mengatasi
perasaan rendah diri yang telah dialami semenjak ianya
kecil. Pergerakan ini pula berhaluan kearah keinginan
mencapai perasaan keunggulan diri. Keunggulan diri ini
tidak mementingkan kepada keuntungan swadiri, bahkan
individu itu sentiasa bergerak untuk mendapatkan perasaan
kekitaan dengan masyarakatnya.
Psikologi individu beranggapan bahawa setiap
individu mempunyai daya kreatif, daya usaha ketetapan
diri, serta berupaya membuat pilihan. Dalam membuat
pemilihan, seorang individu itu mempunyai alternatif-
alternatif. Secara langsung ia juga berupaya memilih
sama ada bergerak ke arah matlamat yang menguntungkan
masyarakat atau sebaliknya merugikan dirinya serta
masyarakat. Dalam ertikata yang lebih luas seorang
individu itu memang mampu untuk berinteraksi secara
optima dengan individu yang lain.
Gaya hidup. Gaya hidup akan menentukan
kesejahteraan individu dalam masyarakat. Walaupun
seorang individu itu tidak dapat menentukan nasibnya,
bagaimana pun ia sentiasa berupaya untuk membentuk rupa
alam sekelilingnya. Pembentukan ini dapat dilaksanakan
melalui tugas-tugas kehidupan yang menjadi teras dan
cabaran dalam aktiviti bermasyarakat.
Seorang insan itu sentiasa bergerak ke arah matlamat
untuk mencapai keunggulan diri. Pegerakkan ini bukan
semata-mata bertujuan untuk mencapai kemenangan dan
kebanggan swadiri. Sebaliknya keunggulan atau matlamat
pencapaian ke arah kecekapan sangat berhubung kait dengan
minat sosial. Seorang yang bergerak ke arah keunggulan
diri dengan bermatlamat untuk mengatasi kerumitan
hidupnya akan mencapai kesedaran terhadap dirinya.
Secara langsung juga ia akan berupaya memberi sumbangan
yang bermakna dengan mewujudkan suasana yang lebih
sempurna untuk ahli-ahli masyarakatnya.
Adler menumpukan kegiatan seorang individu kepada
tugas masyarakat, tugas bekerja, tugas tanggungjawab
kepada isu kejantinaan, tugas kepercayaan serta kesedaran
tehadap wujudnya kuasa yang lebih tinggi, iaitu tuhan
serta kelebihannya, dan tugas terhadap menerima kesedaran
diri bahawa kerumitan yang dialami boleh diatasi secara
sendiri.
Pegangan ini sudah tentunya memberi erti bahawa
seorang manusia itu dapat memainkan peranannya dalam
masyarakat secara optima dengan bekerjasama sesama insan
yang lain. Tugas-tugas perlu diibaratkan sebagai satu
usaha untuk meningkatkan keberkesanan hidup
bermasyarakat.
Keupayaan mencapai keunggulan diri. Peranan yang
dimainkan oleh seorang manusia itu lebih condong kepada
keinsafan bahawa ianya perlu digalakkan bagi mencapai
keunggulan diri untuk manafaat masyarakatnya. Galakan
dalam ertikata psikologi individu merangkumi konsep usaha
dan berani melakukan risiko yang terancang. Seorang
individu sentiasa begerak ke arah keunggulan dari
perasaan serba kekurangan dan kerendahan diri. Kehendak
mencapai keunggulan ini adalah suatu inti yang semulajadi
bagi tujuan mengatasi perasaan rendah diri. Cara yang
unik yang digunakan oleh seseorang individu bagi mencapai
keunggulan inilah yang membezakan antara satu individu
dengan individu yang lain.
Fiksyen yang terakhir. Konsep ini merupakan suatu
matlamat pokok yang menggerakkan tingkahlaku seorang
individu. Aspek fiksyen yang terakhir ini mempengaruhi
individu bahawa tingkahlakunya lebih terhasil daripada
kesan yang dijangkakan pada masa yang akan datang dan
tidak dipengaruhi oleh perkara yang pernah berlaku pada
masa yang lampau. Individu itu biasanya mengolah idea-
idea sebagai panduan mengerakkan tingkahlaku mereka. Idea
ini merupakan matlamat tersendiri yang memberi panduan
sebagai asas gaya hidup individu tersebut.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
-----------------------------------------------------
Kata Kunci:
matlamat hidup
minat sosial
gaya hidup
keunggulan diri
fiksyen terakhir
-----------------------------------------------------
TOPIK 2: PROSES TERAPI
Dalam pendekatan kaunseling psikologi individu,
seorang klien itu tidak dianggap sebagai mempunyai
masalah, ianya juga tidak dianggap sebagai seorang yang
"sakit mental". Sebaliknya dalam pegangan psikologi
individu, seorang klien itu lebih diiktiraf sebagai
seorang yang berkurangan galakkan dan maklomat tentang
cara mendapat kesejahteraan. Oleh yang demikian ianya
amat memerlukan segala unsur galakkan bagi menentukan
agar persepsi yang silap terhadap pandangan gaya hidupnya
dapat di ubahsuai bagi menguntungkan dirinya dalam
masyarakat.
Secara am, proses terapi ini mirip kearah penerokaan
matlamat salah yang wujud dalam diri klien; di samping
mengenalpasti segala andaian yang tersilap yang wujud.
Proses terapi dalam keadaan ini menumpukan kepada unsur
pendidikan, tunjuk ajar, memberi maklumat serta memberi
galakkan kepada klien yang merasai rendah diri. Matlamat
terapi di samping mewujudkan gaya hidup yang lebih
sejahtera menggalakkan klien supaya dapat hidup dalam
keadaan yang setaraf dengan ahli dalam masyarakatnya.
Proses yang menggerakkan terapi memberi perhatian
kepada aspek yang berikut: 1) perhubungan--mewujudkan
perhubungan yang mesra antara kaunselor dengan klien; 2)
analisis--mengenalpasti sejauhmana klien dipengaruhi oleh
gaya hidup serta matlamat hidupnya; 3) wawasan--mentafsir
perkara yang diluahkan bagi mewujudkan wawasan; dan 4)
orientasi--mengalihkan kefahaman yang tercapai kepada
tindakan yang bernas untuk klien.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
-----------------------------------------------------
Kata Kunci:
hubungan kolaboratif
analisis
wawasan
orientasi tindakan
----------------------------------------------------
TOPIK 3: TEKNIK KAUNSELING MENGGUNAKAN PENDEKATAN
PSIKOLOGI INDIVIDU
Teknik. Proses perhubungan dalam terapi ini memberi
fokus kepada hubungan kolaboratif antara kaunselor-klien.
Di samping itu, klien diberi segala galakan agar
mempunyai rasa bertanggungjawab atas tindak-tanduknya.
Kaunselor bekerja keras dengan secara sedar mewujudkan
wawasan kepada klien tentang kekuatan yang ada dalam
dirinya. Walaupun segala kelemahan diterangkan kepada
klien, bagaimana pun kelemahan dan serba kekurangan klien
tidak begitu ditonjolkan.
Penumpuan diberi terhadap dimensi pemikiran yang
positif dan kerap menggunakan aspek sokongan dan galakan
diri untuk klien. Aspek ini kesemuannya dapat dimajukan
secara layanan yang optima menggunakan teknik mendengar,
yakin bahawa klien memang mempunyai daya untuk mengubah
tingkahlakunya.
Teknik melayan dalam terapi ini lebih mementingkan
kepada aliran pemikiran dan pengalaman klien secara
subjektif. Serupa dengan cara layanan terapi afektif,
peringkat awalan proses terapi ini juga memfokus kepada
keupayaan penerokaan menjelaskan matlamat yang hendak
dicapai keseluruhan cara layanan juga mengabung aspek
kefahaman empati dan ketulenan terhadap klien.
Tujuan memahami gaya hidup klien, kaunselor pada
biasanya akan mengambil perhatian tentang perasaan, motif
serta matlamat yang dikemukakan oleh klien. Perkara ini
diterokai secara mendalam tujuan untuk mendapatkan suatu
penilaian kefahaman tentang kehendak klien.
Minat Sosial yang Rendah
Bagaimana saya lakukan?
^
|
| Kuasa
Kejayaan | Kedudukan
| Harta
| Minat Sosial yang Tinggi
| Apakah yang saya lakukan?
---------------------------------------------> Perkongsian, Kegembiraan
| Daya Kreatif
|
|
| Merungut
Kegagalan | Menyalahkan orang lain
v Takut
Helah
Rajah 1
Rajah 1 menunjukkan dimensi minat sosial yang
biasa wujud bagi seorang individu. Seorang
kaunselor yang menggunakan terapi ini berkemungkinan
akan mengajukan soalan-soalan kepada klien yang
boleh memberi pandangan tentang gaya-hidup yang
dikehendaki. Penerokaan boleh dilakukan pada tahap
interaksi klien dengan rakan-rakan, kejayaan dalam
pekerjaan, perasaan terhadap diri sendiri.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
---------------------------------------------------
Kata Kunci:
memberi galakan
minat sosial rendah
minat sosial tinggi
____________________________________________________________
TOPIK 4: KAEDAH ANALISIS DAN PENTAFSIRAN DALAM
PROSES KAUNSELING PSIKOLOGI INDIVIDU
Konstelasi Keluarga. Sebagai satu matlamat
untuk memahami klien, kaunselor juga pentingkan
analisis terhadap gabungan dalam keluarga klien.
Kedudukan kelahiran antara adik-beradik juga
digunakan sebagai analisis dan penilaian untuk
memahami gaya hidup yang sedang dialami oleh klien.
Aspek kedudukan psikologikal adalah ditumpukan
apabila analisis kedudukan kelahiran diguna sebagai
pentafsiran. Soalan tentang siapakah di antara
adik-beradik yang disayangi oleh ibu bapa? Apakah
hubungan yang dapat diperhatikan antara bapa dengan
ibu; bapa dengan anak-anak; ibu dengan anak-anak?
Siapa di antara adik-beradik yang menyerupai klien?
Menyerupai bapa atau ibu? Perkara ini penting bagi
kaunselor, bertujuan untuk menyelami persepsi dan
pengalaman yang mempengaruhi pertumbuhan hidup
klien.
Ingatan awal. Terapi Adlerian menggunakan
teknik ingatan-ingatan awal, di mana ingatan-ingatan
tersebut dapat digunakan sebagai petanda memahami
tentang gaya hidup yang dialami klien sekarang.
Angapan ini bersesuaian dengan fahaman bahawa
individu hanya ingatkan even yang konsisiten dengan
pandangan hidup mereka sekarang. Persepsi ini
memberi peneguhan terhadap logik yang wujud dalam
individu tersebut, yang mana merupakan asas dalam
pegangan hidupnya. Dari ingatan-ingatan awal,
kaunselor dapat menyelami matlamat klien serta
perkara-perkara, nilai yang merangsangkan klien.
Pada biasanya klien akan diminta untuk relaks
sejenak, dan pejamkan mata. Kemudian kaunselor akan
bertanyakan soalan atau pernyataan kepada klien:
"Saya sangat berharapkan agar anda dapat mengingati
semula memori yang paling awal dalam hidup anda.
Suatu perkara yang benar-benar terjadi kepada diri
anda, bukan suatu perkara yang dimaklomkan kepada
anda."
Ingatan-ingatan ini akan diminta oleh kaunselor
mengikut sejauh mana dalamnya keinginan kaunselor
untuk meneroka tentang diri klien berkaitan isu yang
diproses.
Mengglakkan wawasan. Cara ini menumpukan
keupayaan kaunselor selepas memahami gaya hidup
klien untuk berusaha menggalakkan wawasan klien
tentang tingkahlaku yang baru. Dengan menggunakan
teknik yang konfrontif, klien akan dicabar untuk
menyelami dan sedar terhadap matlamat hidupnya yang
merosakkan dirinya. Teknik mencabar, mengkonfron
digunakan sealiran dengan teknik galaakn. Biasanya
pentafsiran-pentafsiran yang bernas adalah perlu
untuk mencetuskan wawasan baru untuk diri klien.
Pentafsiran juga digunakan sesuai dengan kefahaman
kaunselor tentang gaya hidup yang dialami oleh
klien. Penerimaan wawasan yang baru oleh klien
merupakan permulaan untuk klien tersebut merasai
tanggungjawabnya terhadap isu yang dibincangkan
dalam proses terapi.
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
---------------------------------------------------
Kata Kunci:
konstelasi keluarga atau penggabungan keluarga
ingatan awal
menggalakan wawasan
----------------------------------------------------
SOALAN UJI SENDIRI:
1. Hurai dengan ringkas istilah berikut:
a) minat sosial
b) gaya hidup
c) keunggulan diri
2. Bincang penggunaan konstelasi keluarga
dalam proses analisis kaunseling Psikologi
Individu Alfred Adler.
3. Huraikan penggunaan galakan dalam proses
kaunseling Psikologi Individu Alfred Adler.
Pindah ke laman forum dan maklum balas
copyright © othmanmohamed 1997(Profesor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed) ----------------------------------------------------