MODUL 3
TEORI PSIKOANALISIS:  BAHAGIAN 1

copyright © othmanmohamed 1997 (Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)
TEORI PSIKOANALISIS
Perkaitan Subjek:

     Modul ini mendedahkan pelajar kepada bidang teori
Psikoanalisis.  Tumpuan adalah diberi kepada latar
belakang teori; falsafah dan konsep penting teori
psikoanalisis; rasional perubahan personaliti; proses
kaunseling psikoanalisis.

Sumber Pembelajaran:

      1.   Pandangan umum tentang kandungan modul
      2.   Konsep penting dalam teori psikoanalisis     
      3.   Bahan bacaan

Tajuk Pembelajaran:

      Modul yang berikut akan membantu pelajar memahami
secara umum tentang asas teori psikoanalisis: 

1.  Pengenalan kepada teori psikoanalisis
2.  Ciri utama dalam teori psikoanalisis
3.  Perkembangan personaliti
4.  Tahap kesedaran
5.  Personaliti manusia mengikut psikoanalisis
6.  Kaunseling mengikut pendekatan psikoanalisis
7.  Matlamat kaunseling

Kaedah Belajar:

      Membaca, memikir kembali dan menganalisis nota.   
     
Penilaian:

      1.  Setelah anda membaca sebahagian atau          
          keseluruhan modul ini, sila jawab soalan cuba 
          sendiri.


Teks Wajib:
         Othman Mohamed. (2000). Prinsip Psikoterapi dan
            Pengurusan dalam Kaunseling. Serdang, Selangor:
            Penerbit Universiti Putra Malaysia.
         Othman Mohamed, Rahil Mahyuddin & Abd Majid Isa. 
            (1995). Asas Pendidikan IV.  Kuala Lumpur:  
            Longman.



TOPIK 1: PENGENALAN KEPADA TEORI PSIKOANALISIS


     Psikoanalisis merupakan satu sistem psikologi yang
dipelopori oleh Sigmund Freud.  Beliau berasal dari
Moravia, yang pada masa sekarang terkenal dengan nama
Slovakia.  Beliau bermula sebagai seorang doktor
perubatan dan sebagai penyelidik menumpukan
penyelidikannya kepada kecelaruan saraf.  Bidang ini
tidak begitu maju dalam abad yang ke 18, dimana ramai
semasa itu yang menggunakan hipnosis sebagai satu kaedah
bagi menyelesaikan penyakit mental.  Freud bagaimana pun
dipengaruhi oleh kerja-kerja kaedah yang dijalankan oleh
seorang doktor di Vienna, Austria yang bernama Joseph
Breur.  Breur telah menggunakan suatu teknik bagi
mengubati pesakit-pesakitnya, ia-itu menumpukan kepada
perbualan tentang simtom-simtom dan didapati berkesan. 
Pengaruh ini melibatkan Freud mendalami kajiannya secara
persendirian dan hingga diterbitkan bukunya yang pertama
'The Interpretation of Dreams' (1900) dan seterusnya
kajian tentang analysis swadiri.

     Psikoanalisis bolehlah diiktirafkan sebagai satu
kaedah bagi merawati seorang individu yang meminta
bantuan berkaitan dengan masalah emosinya.  Sekiranya
kita mengikuti fahaman tradisi, psikoanalisis lebih
dianggap sesuai merawati individu yang mana masalah
personalitinya sungguh tertekan dan mendalam. 
Kemungkinan agak kurang sesuai untuk membantu mengatasi
kesulitan yang dialami seharian.

© othmanmohamed 1997 


Kata Kunci:

       Sigmund Freud
       psikoanalisis



TOPIK 2:  CIRI UTAMA DALAM TEORI PSIKOANALISIS



Dalam pandangannya tentang fitrah manusia, Freud
mempercayai manusia dilahirkan dengan desakan naluri yang
semulajadi (inborn drives).  Berdasarkan kepada pandangan
ini lahirlah konsep antirasionalisma dalam segala gerak-
geri manusia.  Fahaman ini berpendapat manusia tidak
rasional, tidak sosial dan penuh dengan desakan yang
merosakkan dirinya dan manusia sebagai individu tidak
dapat membawa arah kepada nasib haluannya.

     Tingkahlaku manusia lebih digalakkan oleh naluri
kehaiwanan (Animalistic instincts) dan desakan
biologikal.  Desakan yang paling utama adalah desakan
mendapatkan kepuasan nafsu swadiri (self gratification). 
Desakan ini berlaku dalam diri seorang sama ada lelaki
atau perempuan dan mereka telah terperangkap kepada asas
naluri dan desakan yang jahat ini.  Desakan-desakan
kejahatan perlu dibendung dengan pengalaman-pengalaman
dalam masyarakat.  Dalam ertikata yang luas termasuklah
juga kekeluargaan.  Dengan demikian, maka diadakan ciri-
ciri sosialiasi.  Sekiranya sosialiasi ini tidak berlaku,
maka individu akan berhadapan dengan ciri-ciri yang boleh
merosakkan peraturan-peraturan dalam masyarakat sendiri. 
Apabila kesedaran ini berlaku, maka individu dianggapkan
bilazim.

© othmanmohamed 1997 


Kata Kunci:    

      pembawaan manusia
      naluri kehaiwanan
      nafsu swadiri



TOPIK 3:  PERKEMBANGAN PERSONALITI
     Tenaga psike.  Kefahaman tentang psikoanalisis
memerlukan penilitian aspek tenaga psike yang meliputi
konsep (1) Penentuan Psike dan (2) Tahap Bawah Sedar.

     Penentuan Psike.  Konsep ini bermaksud bahawa semua
tingkahlaku dan reaksi emosi manusia itu mempunyai sebab
yang tertentu.  Pada lazimnya berkait rapat antara
hubungan sesama insan.  Dalam ertikata lain, ada
perkaitan antara tahap sedar dengan tahap tidak sedar,
antara pemikiran yang rasional dengan tindakan atau
gerakkan emosi yang sertamerta.



     Fahaman tenaga psike di dalam individu bermaksud
desakan yang berasaskan kepada konsep LIBIDO.  Konsep
libido in lebih menyerupakan suatu desakan seksual
sebagai tenaga hidup atau EROS (tenaga kehidupan).  Dalam
pengertian yang lebih luas, libido merupakan desakan
tenaga seksual kejantinaan yang luas dan tidak tertunpu
hanya kepada maksud seks yang sempit, tetapi termasuk
segala aspek kepuasan swadiri.  Desakan yang kedua dalam
tenaga psike adalah desakan aggresi atau THANATOS
(kehendak mati).

     Desakan-desakan ini merupakan desakan naluri yang
semulajadi semenjak seseorang itu dilahirkan.  Penentuan
psike ini berkait dengan kenyataan yang dikatakan awal
tadi bahawa manusia sebagai individu tidak dapat membawa
arah kepada nasib haluannya.  Naluri desakan biologikal
itu lebih kuat mempengaruhi tingkahlaku manusia.  Dalam
kaunseling mengikut fahaman psikoanalisis, proses yang
mustahak adalah bagi memberi fokus kepada konflik yang
belum selesai yang berasal dari pengalaman semasa kecil. 
Dalam fahaman psikoanalisis, bagi mengubah haluan proses
kaunseling, kaunselor perlu mengkaji latar belakang dan
sejarah pengalaman kliennya.

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

     Penentuan psike
     libido
     eros
     thanatos


SOALAN UJI SENDIRI:

     1.  Hurai maksud tenaga dalam fahaman psikoanalisis.



TOPIK 4:  TAHAP KESEDARAN


     Konsep ini adalah penting dalam teori psikoanalisis,
selain dari Penentuan Psike.  Dalam pemikiran manusia,
keadaan sedar merupakan satu tahapyang paling rendah dari
segi keutamaan tahap kesedaran.  Psikoanalisis menyatakan
bahawa ada tiga tahap kesedaran:

     (1)  SEDAR (Concious)
     (2)  PRASEDAR (Preconcious)
     (3)  BAWAH SEDAR (Unconcious)

     Tahap atau peringkat kesedaran ini penting dalam
kerja-kerja kaunseling psikoanalisis.  Tahap sedar
tergolong segala aspek tingkahlaku, tindakan, perasaan
yang mana disedari oleh individu.  Rasa sepi, suka,
menulis tugasan, berlari, makan, minum dan sebagainya.

     Tahap Prasedar tergolong dari keadaan pemikiran yang
berkaitan dengan perasaan, pemikiran kita yang boleh
dipanggil secara swadiri supaya dapat dirasai
kenyataannya dalam keadaan sedar.  Sungguh pun pada
asalnya perasaan, pemikiran itu tidak merupakan
sebahagaian dari tahap sedar tadi.  Contoh, Pada masa
tertentu, kita akan rasa lapar--boleh dipanggil secara
swadiri dan tindakan selanjutnya adalah kehendak untuk
makan.  Contoh yang lain, panas, sejuk dapat difikirkan
kekuatannya.  Tahap panas, sejuk mempunyai tahap tertentu
bagi diri seorang mengikut pengalaman masing-masing.

     Tahap Bawah Sedar merupakan peringkat yang paling
penting dalam proses psikoanalisis.  Peringkat bawah
sedar inilah yang memainkan peranan dalam pembentukkan
tingkahlaku seseorang itu selain dari desakan naluri yang
semulajadi seperti tenaga psike.

     Tahap bawah sedar ini merupakan pemikiran perasaan
yang mana seorang tidak dapat mengeluarkannya secara
swadiri.  Oleh yang demikian, peralihan dari tahap bawah
sedar kepada tahap sedar akan memerlukan bantuan daripada
kaunselor.

     Pada biasanya perasan pemikiran bawah sedar ini
melalui proses repressi yang di sekat dari kenyataan. 
Keadaan ini berlaku oleh kerana individu itu biasanya
beranggapan atau pun individu tidak dapat menerimanya
sendiri, atau ia mempunyai satu persepsi bahawa
masyarakat juga tidak dapat menerimanya.

     Dalam psikoanalisis, bahan bahan yang dimaksudkan
dalam bawah sedar ini meliputi kata-kata tersasul; mimpi;
fantasi atau khayalan seseorang individu.  Kesemua ini
merupakan satu manifestasi kepada galakan yang tersirat
di dalam tahap bawah sedar individu.  Penekanan terhadap
tahap bawah sedar inilah yang membezakan antara lainnya
di antara kaunseling psikoanalisis dengan teori lain yang
baru yang lebih menumpukan kepada tingkah laku semasa
yang dapat dicerap.

     Antara fungsi kaunselor dalam proses kaunseling
secara psikoanalisis adalah untuk bertindak kepada tahap
kesedaran kliennya.  Di sini kaunselor dikehendaki
menarik perhatian klien dan memberi kesedaran kepada
pemikiran bawah sedarnya yang telah disekat dari
kenyataan secara mekanisma bela diri REPRESSI.  Secara
repressi, individu itu telah dapat menunjukkan
kenyataannya dalam bentuk tingkahlaku yang 'tak sesuai'
tetapi kaunselor juga dikehendaki membantu kliennya
bekerja keras bersama sama bagi cuba menyelesaikan
konflik yang belum dapat dibereskan.

     Caranya: (1) Pendedahan
              (2) Meneroka
              (3) Pentafsiran

     Selain daripada penekanan kepada tahap bawah sedar,
kaunseling secara psikoanalisis juga tertumpu kepada
kaedah penerokaan dan pendedahan.  Apa yang dimaksudkan
di sini ialah kaunselor itu akan membantu kliennya dengan
mendedahkan sebab sebenar masalah yang dihadapinya.  Pada

biasanya, percubaan untuk mendedahkan sebab asas masalah
ini akan melalui dengan penuh rintangan kerana wujudnya
mekanisma bela diri klien.  Klien akan sedaya upaya
menghalang sebab masalahnya itu didedahkan.

     Melalui pentafsiran seseorang kaunselor dapat
bersemuka dengan makna yang sebenarnya disebalik huraian
komunikasi yang dibuat oleh klien.  Pentafsiran merupakan
elemen terapi yang kuat dalam pendekatan psikoanalisis. 
Oleh kerana pentafsiran dapat membantu klien memahami
apakah yang beliau sedang mengalami desebalik tahap bawah
sedarnya dan juga bagaimana beliau telah memesongkan
persepsinya terhadap acara semasa.  Apa yang telah
diperkatakan tadi merupakan konsep disebalik kaedah
pendekatan psikoanalisis.  Konsep yang kaitannya dengan
tahap kesedaran itu sangat rapat. 

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

    sedar
    prasedar
    bawahsedar



SOALAN UJI SENDIRI

     1.  Apakah yang dimaksudkan dengan bawahsedar?



TOPIK 5:  PERSONALITI MANUSIA MENGIKUT PSIKOANALISIS



    Selain dari penghuraian tentang konsep kesedaran ini
dan kesannya terhadap perkembangan personaliti,
psikoanalisis juga telah membahagikan personaliti manusia
itu kepada tiga struktur:

     (1) ID
     (2) EGO
     (3) SUPER EGO

     Id

     Id diandaikan semua gejala yang neutral dalam
pemikiran seorang individu.  Dalam pandangan
psikoanalisis, ciri id seseorang itu sudah wujud semasa
ianya dilahirkan.  Id dianggap sebagai satu elemen
struktur yang semulajadi, satu elemen yang diwarisi, satu
elemen yang sedia ada dalam diri manusia.  Id merupakan
satu gejala bawah sedar.  Id merupakan satu tenaga yang
primitif.  Id tidak teratur, tidak rasional dan penuh
dengan orientasi berkehendakkan kepuasan.  Id merupakan
sumber LIBIDO.  Tujuan utama id adalah bagi mendapatkan
kepuasan swadiri secara mendadak (immediate
gratification).  Itulah sebabnya id tidak mempunyai
penyatuan dari segi maksud tidak teratur dan tidak
bermoral.  Sebagai satu daya tenaga yang begitu primitif,
id merupakan penggerak psikologikal yang tidak payah
dipelajari.

     Ego.  Ego berbeza dengan id.  Ego tidak wujud semasa
kelahiran.  Sebaliknya, ego berkembang secara
berperingkat.  Sebagai elemen pada tahap sedar, ego penuh
dengan persepsi, inginkan kemajuan dan boleh menyesuaikan
fungsinya mengikut keadaan.  Perkembangan ego adalah
melalui hubungan secara sosial dan identifikasinya dengan
orang lain, objek di dalam alam sekelilingnya.  Sebagai
alat memperkukuhkan swadiri pada tahap sedar, ego
memainkan satu fungsi yang penting dalam struktur
tingkahlaku dan personaliti individu.

     Identifikasi.  Sebagai satu konsep terapan yang
disedari, identifikasi memainkan peranan yang penting
semasa mengubahkan haluan tenaga psike daripada id kepada
ego.  Antara fungsi ego adalah ego dapat bertindak
terhadap acara yang mendatangkan kecemasan, biasanya
konflik atau pertentangan antara id dengan super ego. 
Ego mempunyai dua cara untuk bertindak dalam keadaan
kecemasaan.

     (1)  Ego boleh menggunakan asas pengalaman serta
kebolehan tenaga pemikiran yang nyata atau yang sebenar. 
Seterusnya, ego boleh bertindak terhadap tingkahlaku
penyelesaian masalah berasaskan pengalaman dan
sosialisasi.

     (2)  Ego boleh menggunakan kaedah menentang,
menolak, tipu-helah dengan memesongkan keadaan sebenar
atau kebenaran.  Apabila kaedah ini bergerak dan
mengambilalih tingkahlaku, keadan ini ternyata sebagai
mekanisma beladiri ego.  Antara mekanisma beladiri adalah
pendaman, rosotan, sublimasi.

     SUPER EGO.  Super ego merupakan struktur yang ketiga
dalam pemikiran tingkahlaku psikoanalisis.  Super ego
lebih menyerupai hati nurani atau 'conscience' seseorang
individu.  Super ego merupakan akar tunjang dari aspek
peneguhan moral yang baik.  Moral yang dipelajari,
dikenal pasti daripada ibu dan bapa, mahupun masyarakat. 
Moral yang demikian dipelajari hasil daripada asuhan
semasa seorang individu itu masih kecil peringkat umurnya
dan berkembang dengan penerapan moral sebagai sebati
dengan hati nuraninya.

     Super ego mengawal ego dan id.  Super ego bertindak
seakan-akan seperti ibu bapa seorang individu, saling
mengingatkan keadaan, suasana, peristiwa, persepsi,
pemikiran, emosi, perasaan, sikap, tingkah laku. 
Disebalik super ego sentiasa wujud imej pengawalan. 
Sebagai contoh, lazimnya di kalangan orang Melayu,
apabila hendak keluar dari rumah, secara otomatis
terlintas bagi memakai kasut.  Keadaan menanggalkan kasut
sebelum memasuk ke dalam rumah kediaman juga menjadi
kelaziman adat orang Melayu.

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

     Id
     Ego
     Superego



SOALAN UJI SENDIRI

     1.  Bezakan antara id, ego dan superego.

     2.  Huraikan konsep penentuan psike dalam          
         kaunseling psikoanalisis.
     3.  Huraikan istilah bawah sedar dalam             
         psikoanalisis.


______________________________________________________________________________
______________________________________________________________________________


MODUL 4

TEORI PSIKOANALISIS:  BAHAGIAN 2 


copyright © othmanmohamed 1997 (Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)




TOPIK 6:  PERKEMBANGAN PERSONALITI


     Terdapat lima peringkat perkembangan personaliti
mengikut teori psikoanalisis.  Peringkat tersebut adalah
seperti berikut:

     1.  Peringkat oral.  Kepuasan yang mula dirasai oleh
seorang bayi adalah keseronokan yang dikecapi di mulut. 
Peringkat ini bermula semenjak dilahirkan.  Hampir semua
objek dibawa ke mulut oleh seorang bayi.  Mengikut
fahaman psikoanalisis, keadaan ini menyebabkan keadaan
lekatan sebagai mekanisma bela diri semasa dewasa yang
boleh membawa kepada trait yang passif, optimis dan ingin
mengetahui.

     2.  Peringkat anal.  Pada tahun kedua, kanak-kanak
mula berkembang dan berupaya mengasingkan fungsi
pembuangan najis dari kehendak nalurinya yang semula
jadi.  Pada peringkat ini, kanak-kanak dilatih cara yang
sesuai bagi melaksanakan kehendak pembuangan najisnya. 
Pelaksana psikoanalisis berpendapat bahawa latihan yang
dilalui akan mempengaruhi sasiahnya apabila meningkat
dewasa.

     3.  Peringkat falik.  Mengikut pendapat
psikoanalisis, pada peringkat ini, kanak-kanak mula
berseronok dengan organ jantinanya.  Peringkat ini juga
merupakan permulaan berkembangnya kompleks oedipus dan
kompleks elektra.  Kompleks oedipus berlaku pada kanak-
kanak lelaki apabila tanpa disedari ianya tertarik kepada
ibunya.  Kartasis penarikan ini juga berlaku terhadap
kanak-kanak perempuan kepada bapanya, sealiran dengan
kompleks elektra.  Rasa tidak puas terhadap sama ada ibu
oleh kanak-kanak perempuan dan terhadap bapa oleh kanak-
kanak lelaki menyebabkan kanak-kanak mengikut serta
mendapatkan perhatian kepada ibu atau bapanya.  Peringkat
paling kritikal ini akan menentukan kepesatan seksual
yang berkembang dalam diri seorang individu.

     4.  Peringkat pendaman.  Pada umur lima hingga dua
belas tahun, kehendak seksual terpendam.  Maka bermulalah
gejala penyekatan seksual dalam diri individu.  Walau
bagaimanapun, peringkat ini juga penuh dengan suasana
menguatkan sifat serta ciri kelakian atau pun kewanitaan. 
Peringkat ini juga penuh dengan keupayaan berkawan sesama
rakan sama ada dari jantina lelaki atau pun wanita.

     5.  Peringkat genital.  Sebaik sahaja kanak-kanak
menghampiri akhir baligh, kehendak seksual diganti dengan
struktur ego yang mengambil alih semula perkembangan
diri.  Pada masa ini, objek yang jitu dari segi
perkembangan diri menjadi lumrah dengan kematangan yang
berfungsi.  Ego yang terbentuk dijaga dan dikembangkan
secara pengalaman yang baru serta bermakna bagi diri
individu.  Individu mula dengan peranan sosialisasi,
perlaksanaan aktiviti berkelompok, mula dengan penarikan
interaksi seksual dan persedian perkahwinan, berkeluarga 
dan penetapan vokasional.  Zaman kanak-kanak ditinggalkan
dan bermula dengan peringkat kedewasaan.

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

     Peringkat oral
     Peringkat anal
     Peringkat falik
     Peringkat pendaman
     Peringkat genital



Topik 7:  MEKANISME BELA DIRI


     Mekanisme bela diri berlaku bagi menjaga pembentukan
ego yang sedia ada dalam pengalaman seorang individu. 
Mekanisme bela diri berpandukan kepada pengalaman yang
tersirat pada peringkat bawah sedar dalam struktur ego. 
Seorang individu belajar hasil dari pengalamannya tentang
segala contoh dan kegiatan berkaitan naluri diri bagi
memuaskan kehendaknya.  Apabila fungsi ego yang sedia ada
tidak dapat menyesuaikan dengan keadaan sekeliling,
seorang individu akan secara tanpa sedar menggunakan
mekanisme bela diri bagi menagani keadaan yang dihadapi.
Antara mekanisme bela diri yang digunakan adalah seperti
berikut:


     Pendaman.  Pendaman merupakan mekanisme bela diri
yang asas dalam struktur personaliti seorang individu. 
Pendaman merupakan pengenepian desakan sebagai perwakilan
idea daripada tahap sedar.  Perkara ini berlaku apabila
ada desakan yang menyebabkan kepincangan yang tidak
sangup ditangani.  Kesannya mengakibatkan berlaku
keresahan sekiranya timbul pada tahap sedar.  Ciri
pendaman yang berterusan akan memakan diri di samping
pengaliran tenaga ego bagi tujuan membela diri.

     Keresahan.  Keresahan merupakan perasaan ketakutan
dalaman.  Keresahan berasas dari ingatan serta pengalaman
lampau yang pahit dan menyakitkan diri.  Biasanya
keresahan dikaitkan dengan penderaan.  Desakan ini sering
diingati dan akan menimbulkan desakan dalaman yang
menakutkan.

     Rosotan.  Satu proses dimana seorang individu dalam
keadaan yang tertekan akan mengguna gerak balas yang
biasa dilakukan pada peringkat awal perkembangan
personalitinya.  Rosotan berlaku bagi mendapatkan
kepuasan yang sedia ada dalam tahap bawah sedarnya. 

Contohnya, seorang kanak-kanak yang baru sahaja dapat
seorang adik akan merosot tingkah lakunya, seperti tidak
membuang air dengan teratur tanpa mengingat latihan yang
sudah dilalui.  Dalam keadaan ini, kanak-kanak tersebut
rasa terancam dengan kedudukannya yang selamat dalam
struktur kekeluargaan.

     Pembentukan reaksi.  Proses ini merupakan satu
perkembangan sikap yang bertentangan dengan perkara yang
telah dipendam.  Keadaan ini berasaskan kepada prinsip
bertentangan polariti.  Contohnya, desakan melakukan
kegiatan `mengotorkan' bertentangan dengan desakan
kegiatan `bersih' yang ada dalam pendaman. 

     Unjuran.  Suatu keadaan dimana seorang individu
melepaskan sikap diri sendiri ke arah orang lain. 
Keadaan ini berlaku apabila ego tidak lagi dapat memendam
bahan yang tidak digemarinya.  Contohnya, perasaan marah
terhadap sesuatu kegiatan.

     Introjeksi.  Suatu keadaan dimana seorang individu
menghimpun dalam dirinya semua sikap afektif dan bukan
afektif berkaitan dengan objek atau orang luaran. 
Mekanisme ini penting sebagai asas kepada proses
pengenalpastian dalam peranan superego.

     Pengenalpastian.  Pengenalpastian merupakan satu
proses dimana seorang individu menggabungkan sikap orang
lain ke dalam dirinya.  Dalam keadaan demikian, segala
tenaga id dialirkan ke arah proses pembentukkan ego. 
Contohnya, seorang kanak-kanak rujuk tingkah laku dengan
mengenalpasti kepada ibu bapanya.  Dengan cara menyerap
segala ego ideal ibu bapa tersebut sebagai idealnya.  Di
sini terbentuk tenaga superego bagi diri kanak-kanak
tersebut.

     Pindahgantian.  Keadaan ini merupakan satu proses
mengalirkan tenaga psike dari sumber atau objek yang
tidak dapat diakses kepada satu objek lain.  Keadaan in
akan mendatangkan satu bentuk kartasis atau kelegaan
dalam diri.  Pada biasanya sikap serta perasaan yang asal
tetap akan terserap, hanya emosi yang baru digantikan ke
arah objek yang lain.  Contohnya, kemarahan terhadap
seorang diganti dengan satu kegiatan yang kasar tetapi
membena seperti membelah kayu api atau mencangkul membuat
batas tanaman sayur.

     Sublimasi.  Satu bentuk pindahgantian yang berunsur
seksual, apabila desakan seksual dialihkan ke arah
tindakan yang berbentuk sosial dan mernunafaat serta
kreatif.  Contohnya, menyani, melukis, drama dan semua
kegiatan kreatif dan kesenian.  Sekiranya pindahgantian
berunsurkan desakan yang ganas maka sublimasi berbentuk
kegiatan yang ganas akan mengambil alih seperti sukan
berbentuk lasak.

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

     mekanisme bela diri
     pendaman
     keresahan
     rosotan
     pembentukan reaksi
     unjuran
     introjeksi
     pengenalpastian
     pindahgantian
     sublimasi



TOPIK 8:  KAUNSELING MENGIKUT PENDEKATAN PSIKOANALISIS


     Rasional bagi perubahan.  Struktur personaliti yang
dikemukakan oleh Freud sangat penting difahami bagi
seorang kaunselor yang ingin melaksanakan rawatan sejajar
dengan pendekatan psikoanalisis.  Kefahaman tentang
peranan id, ego dan superego dalam diri seorang insan
akan dapat menentukan tahap kecelaruan yang sedang
dialami oleh klien.  Kaunseling pendekatan Psikoanalisis
menumpukan kepada analisis tentang perimbangan antara id,
ego dan superego yang berlaku dalam diri seorang insan. 
Mengikut fahaman psikoanalisis, seorang individu itu
berada dalam kecelaruan mental kerana tidak berlakunya
perimbangan id, ego dan superego dalam dirinya.

     Proses kaunseling.  Proses kaunseling secara
pendekatan psikoanalisis melibatkan interaksi antara
kaunselor dengan kliennya.  Interaksi secara bersemuka
adalah perlu dan digalakkan bagi menjaga kepentingan
proses hormat menghormati antara kaunselor dengan
kliennya.  Proses kaunseling juga melibatkan perbualan
yang ikhlas antara kaunselor dengan klien.

     Dalam pendekatan psikoanalisis, kaunselor akan
menerima kliennya secara ikhlas dan tanpa bersyarat. 
Penerimaan tanpa bersyarat atau keredhaan penerimaan ini
memang penting dalam iklim kaunseling.  Walaupun dalam
proses kaunseling psikoanalisis yang traditional, klien
digalakkan baring di atas kerusi kauch, praktis ini sudah
kurang diamalkan.  Memadailah klien boleh duduk dengan
selesa di atas kerusi yang berdekatan dengan kaunselor
dalam interaksi kaunseling.

     Dalam proses kaunseling psikoanalisis, rintangan
perbualan dan berinteraksi merupakan perkara pokok yang
diguna oleh kaunselor bagi mendapatkan maklumat tentang
tahap bawah sedar klien.  Bagi kaunselor, kefahaman dan
keupayaannya membuat analisis tentang struktur tahap
bawah sedar klien merupakan punca permulaan bagi merawat
klien tersebut.
     Desakan id biasanya merupakan punca kegelisahan dan
penyebab kecelaruan dalam perimbangan struktur
personaliti klien.  Di samping itu, rintangan dan
mekanisme bela diri seorang individu juga akan
meningkatkan kerumitan yang dialami oleh klien. 

Sehubungan ini, desakan id dan rintangan yang berpunca
daripada mekanisme beladiri ego seorang klien boleh
mempengaruhi pemikiran dan emosi klien.  

     Dalam proses psikoanalisis, kaunselor
bertanggungjawab bagi membantu klien menimbulkan ke tahap
kesedaran segala hal yang terpendam dalam tahap bawah
sedar kliennya.  Proses pemangkin ini akan hanya dapat
dijelmakan melalui teknik yang spesifik dalam kaunseling
psikoanalisis.  

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

     perimbangan struktur
     interaksi kaunseling
     mekanisme bela diri



TOPIK 9: MATLAMAT KAUNSELING


     Matlamat kaunseling.  Setiap proses kaunseling
mempunyai matlamatnya yang tersendiri.  Kaunseling
pendekatan psikoanalisis tidak terkecuali dari kehendak
ini.  Berasaskan kepada tahap kesedaran, matlamat penting
dalam proses kaunseling psikoanalisis adalah bagi
menjelmakan wawasan kepada akal pemikiran kliennya. 
Hasil ini akan hanya tercapai apabila timbul
perseimbangan antara struktur personaliti yang merangkumi
id, ego dengan superego.

     Wawasan psikologi yang dimaksudkan merangkumi segala
kepekaan kefahaman tentang daya pemikiran dan kesedaran
diri.  Dalam erti kata yang luas, wawasan mencakupi
keupayaan seorang individu itu menyedari kederiaan
pemikirannya serta afektif secara mendalam hingga
berupaya mewujudkan suatu pemilihan yang wajar untuk
kebahagian dirinya.
     Proses perimbangan struktur personaliti ini wajar
dilakukan secara sengaja serta teratur oleh kaunselor. 
Perlaksanaan perimbangan ini boleh diuruskan melalui
teknik perkaitan bebas; pentafsiran dan analisis
persepsi, terutamanya mekanisme bela diri; pentafsiran
dan analisis mimpi.

© othmanmohamed 1997


Kata Kunci:

    wawasan psikologikal



TOPIK 10:  TEKNIK KAUNSELING


     Perkaitan bebas.  Perkaitan bebas sebagai satu
teknik berkehendakkan agar klien meluahkan apa sahaja
yang terlintas dalam pemikirannya tanpa menapis susunan
logik perbualannya dengan kaunselor.  Teknik ini mula
distrukturkan oleh Freud bagi tujuan mengingati semula
pengalaman serta emosi yang lampau pernah dialami oleh
klien.  Kaunselor biasanya memberi satu sikap interaksi
yang menggalakan supaya klien boleh bertindak secara
bebas tentang perkara yang hendak diluahkan.  Disebalik
asas teknik ini adalah kefahaman bahawa dalam diri
individu memang tersemat pendaman sebagai satu faktor
mekanisme bela diri.  Tujuan perkaitan bebas adalah bagi
melepaskan ke tahap sedar pendaman yang lama sehinga
dapat diluahkan.  Pendaman yang banyak tersimpan menjadi
tekanan desakan diri.  Sehingga pendaman tersebut
dikeluarkan ke tahap sedar, kecondongan pendaman tersebut
tidak boleh disesuaikan dengan alam realiti.

     Transferens.  Transferens diguna oleh kaunselor bagi
memberi galakan kepada klien bahawa kaunselor sememangnya
bersedia untuk memberi bantuan.  Konsep transferens
meletakkan klien dalam satu keadaan minda bahawa
kaunselor sebenarnya adalah ibubapa atau orang signifikan
lain dalam pengalaman hidupnya yang lampau.  Dalam proses
transferens, seorang klien itu akan menghidupkan semula
tanpa disedari segala tingkahlaku patogeniknya kepada
kaunselor.  Keadaan ini sangat perlu difahami oleh
kaunselor bagi menangani proses analisis dan pentafsiran
mekanesime bela diri klien.
     Pentafsiran.  Dalam proses kaunseling psikoanalisis,
pentafsiran penting bagi menimbulkan wawasan psikologikal
kepada diri klien.  Transferens sahaja tidak mencukupi
bagi mengerakkan klien ke arah kelegaan dan tingkahlaku
yang baru.  Analisis dan pentafsiran tentang mekanisme
bela diri klien akan memudahkan klien memahami kerumitan
yang sedang dihadapinya.  Tugas kaunselor adalah untuk
menjelmakan satu kartasis atau kelegaan dalaman yang
boleh dinikmati klien.  Pentafsiran dapat mengerakkan
segala kefahaman superego yang lama kepada satu tahap
kesedaran baru.  Pengalaman dan kefahaman baru ini
selanjutnya akan diganti dengan kesedaran ego baru dan
bergerak ke arah penerimaan superego yang lebih sesuai
dengan keadaan semasa sealiran dengan klien.

     Dalam proses kaunseling secara psikoanalis ini
berbagai rintangan mungkin akan timbul diantara interaksi
kaunselor dengan klien.  Pentafsiran yang dikemukakan
oleh kaunselor tidak semestinya diterima oleh klien. 
Hasil pentafsiran mungkin menimbulkan satu reaksi
kepincangan dan kaunselor wajar bersedia menerima hakikat
bahawa tidak semua analisisnya mudah diperlakukan oleh
klien.  Apabila keadaan ini berlaku maka kaunselor wajar
sedar bahawa klien mungkin berada dalam keadaan
transferens dan menganggapnya sebagi orang signifikan
yang pernah dialami dalam hidupnya yang lampau.  Ada
kalanya juga rintangan tidak semestinya berlaku hasil
daripada proses transferens.  Ada kemungkinan juga

rintangan berlaku hasil dari satu penolakan sebenar
pentafsiran yang diberi oleh kaunselor.  Tanda seperti
ini memberi isyarat bahawa klien belum bersedia untuk
menyesuaikan dirinya dengan keadaan yang sebenar.

     Kaunselor perlu faham bahawa dirinya juga
terpengaruh dengan keadaan pemindahan persepsi minda
terhadap kliennya.  Keadaan tanpa disedari ini
mengerakkan satu proses kaunter transferens.  Fokus
kaunselor terhadap klien seolah-olah sudah terpisah ke
arah klien sebagi seorang yang biasa didekati dalam
pengalaman kaunselor masa lampau.  Kaunselor wajar dapat
mengawal keadaan seperti ini dalam dirinya secara sedar
dan cepat kembali kepada alam kaunseling. 
     
© othmanmohamed 1997



Kata Kunci:

    perkaitan bebas
    transferens
    pentafsiran
    kaunter transferens
    rintangan
     


SOALAN UJI SENDIRI

    Hurai dengan ringkas:

     1.  perkaitan bebas
     2.  transferens
     3.  kaunter transferens
     4.  rintangan


Pindah ke laman forum dan maklum balas

 

KE LAMAN TEORI KAUNSELING


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)