MODUL 2

DIMENSI PENGGUNAAN TEORI-TEORI KAUNSELING DAN
PSIKOTERAPI

copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)



 


DIMENSI PENGGUNAAN TEORI-TEORI KAUNSELING DAN
PSIKOTERAPI

Perkaitan Subjek:

     Modul ini mendedahkan pelajar kepada bidang penggunaan teori
kaunseling dan psikoterapi.  Tumpuan adalah diberi kepada
pembentukkan konsep dimensi teori kaunseling dan psikoterapi serta
pentingnya penerapan teori dalam proses kaunseling.

Sumber Pembelajaran:

      1.   Pandangan umum tentang kandungan modul
      2.   Konsep penting dalam teori kaunseling dan psikoterapi
      3.   Bahan bacaan

Tajuk Pembelajaran:

      Modul yang berikut akan membantu pelajar memahami secara umum
tentang pembentukkan dimensi teori kaunseling dan psikoterapi serta
pembawaan naluri manusia:

      1.  Dimensi kaunseling
      2.  Pembawaan naluri manusia 

Kaedah Belajar:

      Membaca, memikir kembali dan menganalisis nota modul.


Penilaian:

      1.  Setelah anda membaca sebahagian atau keseluruhan modul  
          ini, sila jawab soalan uji sendiri.

      2.  Setelah anda berasa yakin dengan pencapaian anda, sila  
          buat tugasan ini:  "Huraikan fahaman pembawaan manusia  
          anda dengan mengambil kira untuk diterap dan dijadikan  
          satu pendekatan teori kaunseling".  Penulisan tidak     
          melebihi 3 muka surat mengikut cara penulisan American  
          Psikologikal Association.  Hantarkan tugasan kepada     
          pensyarah dalam masa dua minggu.  


Teks Wajib:
         Othman Mohamed.(2000). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan
            dalam Kaunseling. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti
            Putra Malaysia.                         


         Othman Mohamed, Rahil Mahyuddin & Abd Majid Isa. (1995). 
            Asas Pendidikan IV.  Kuala Lumpur: Longman.




 

TOPIK 1: DIMENSI KAUNSELING

     Matlamat penting dalam proses kaunseling adalah untuk
memastikan supaya klien dapat menikmati hasil kaunseling dan boleh
berfungsi dengan sihat.  Pada biasanya, klien akan memerlukan
pertolongan supaya ianya dapat mengubah perlakuan yang melibatkan
emosi serta tingkah lakunya.  Manusia telah dianugerahkan dengan
daya pemikiran, emosi dan kebolehan membuat pemilihan tentang
sesuatu tindakan.  Hubungan antara pemikiran, emosi dan tingkah
laku adalah rapat dan wujud kesalingan pengaruh antara satu dengan
lain.  Oleh yang demikian, interaksi antara lapangan pemikiran,
emosi dan tingkah laku adalah mustahak dalam perlaksanaan proses
kaunseling. Seorang kaunselor mesti memahami gerak balas yang
berunsurkan persepsi terhadap interaksi yang berkait rapat antara
pemikiran, emosi dan tingkahlaku.

     Dalam proses kaunseling, elemen pemikiran, emosi dan
tingkahlaku ini boleh difahami dengan lebih terperinci melalui
konsep afektif, pemikiran kognitif, wawasan diri dan tingkahlaku. 
Kefahaman tentang empat konsep elemen ini mesti dihayati oleh
kaunselor sebelum proses kaunseling itu dapat diteruskan dengan
berkesan.

     Konsep wawasan diri melibatkan proses kefahaman dalaman
tentang diri sendiri.  Proses kefahaman seperti ini memerlukan
penghayatan menyeluruh melibatkan akalnya.  Seorang insan itu sudah
tentunya dikehendaki mengetahui tentang kekuatan dan kelemahan diri
seiringan dengan emosinya.  Konsep ini boleh digambarkan seperti
berikut:


         A __________________________________B
    Wawasan diri                          Tindakan


Pendekatan kaunseling yang lebih mirip ke arah mementingkan wawasan
diri akan terletak di bahagian A.  Manakala pendekatan kaunseling
yang lebih mirip ke arah tindakan akan terletak di bahagian B.

     Pentingnya pemikiran dan emosi dalam diri seorang insan tidak
dapat dinafikan.  Dalam proses kaunseling, pendekatan yang
melibatkan elemen pemikiran dan juga afektif memainkan peranan
dalam penentuan matlamat kaunseling.  Elemen afektif dalam proses
kaunseling lebih mendekati perhubungan antara insan, manakala
proses pemikiran secara kognitif memberi kepentingan tentang daya
akal fikiran yang sedia wujud dalam diri manusia.  Elemen konsep
ini boleh digambarkan secara haluan yang memisah ke arah dua
penghujung dalam satu kontinum seperti berikut:

         X __________________________________Y
      Afektif                             Kognitif 

     Dua kontinum ini boleh dicantumkan bagi menentukan bentuk
struktur dua dimensi tentang penempatan pendekatan kaunseling
mengikut mirip serta pengaruh matlamat kaunseling yang dipelopori
oleh tokoh tertentu.


                       X Afektif
                          
                          |
                          |
                          |
            A-------------------------- B
         Wawasan          |         Tindakan
                          |
                          |
                          |
                          
                        Y  Kognitif

© othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)



Kata Kunci:

      Afektif
      Kognitif
      Wawasan
      Tindakan




 
TOPIK 2:  PEMBAWAAN NALURI MANUSIA



      Pada asasnya pendekatan afektif mempunyai kefahaman bahawa
setiap manusia itu sedar dan berupaya membuat pemilihan-pemilihan
yang tersendiri.  Manusia itu difahamkan sebagai satu insan yang
penuh dengan kebaikan diri serta mempunyai keupayaan perkembangan
diri yang tidak terhad.  Ini memberi makna bahawa tersemat didalam
diri seorang manusia itu adanya suatu potensi yang boleh dikupas
secara mendalam sekiranya ia dapat sedar akan potensi perkembangan
diri yang terpendam itu.

     Kefahaman pendekatan afektif mempunyai pegangan bahawa seorang
manusia itu adalah unik, tersendiri dalam kebolehannya membentuk
potensi yang terpendam dalam dirinya.  Setiap manusia itu juga
kemungkinan bergerak ke arah hala yang boleh memperkukuhkan
dirinya.  Keunikan diri seorang manusia itu memberi erti bahawa
ianya mempunyai pandangan hidup yang berbeza.  Perbezaan ini adalah
ketara dari aspek perlakuan yang diresapi oleh seorang manusia
serta pandangan yang berbeza terhadap liku-liku hidup. 
Kesejahteraan juga dapat difahamkan dari segi aspek jangkaan
seorang manusia terhadap dirinya yang sebenar dengan harapan yang
dikehendakinya. 

     Perbezaan antara penerimaan terhadap konsep swadiri yang
sebenar dengan harapan konsep swadiri yang ideal menyatakan suatu
pola hidup dalam memahami konsep kesejahteraan mengikut pendekatan
kaunseling Pemusatan Perorangan.  Pendekatan kaunseling Pemusatan
Perorangan, antara satu pendekatan kaunseling yang berhaluan
afektif menumpukan proses kaunseling kearah merapatkan jurang
diantara konsep swadiri yang sebenar dengan harapan konsep swadiri
yang ideal bagi seorang klien.  Pergerakkan perkembangan dan
pertumbuhan kesejahteraan seorang manusia itu sentiasa beragih
diantara perimbangan diantara dua pola ini dan pengalaman-
pengalaman yang pernah dialami.  Kaunseling Pemusatan Perorangan
mempunyai kefahaman bahawa tidak adanya keseimbangan antara ketiga-
tiga pola pengalaman, konsep swadiri yang sebenar dan konsep
swadiri yang ideal inilah yang menghasilkan masalah dalam diri
klien.  Oleh itu, proses kaunseling untuk menghasilkan kongruen
diantara dua pola hidup ini adalah tujuan muktamat kaunseling
Pemusatan Perorangan disamping mewujudkan kesedaran penyesuaian
pengalaman dan wawasan swadiri klien.  Kongruen diantara pola-pola
ini juga dimaksudkan sebagai kesejahteraan yang boleh mengatasi
kerumitan yang dialami oleh seorang klien.

     Penyatuan pola-pola hidup juga mendapat tumpuan analisis
mengikut kaunseling Gestalt.  Bagaimanapun pendekatan afektif
secara Kaunseling Gestalt tidak membahagi-bahagikan pembawaan hidup
manusia itu kepada ciri-ciri yang spesifik.  Ianya lebih
mementingkan konsep penyatuan dalam diri seorang manusia.  Analisis
dari segi aspek penyatuan keseluruhan adalah lebih penting dan
dapat memberi pentafsiran yang lebih jitu bagi memahami pembawaan
hidup seorang manusia itu.  Pendekatan kaunseling ini beranggapan
bahawa seorang manusia yang bertingkahlaku secara mengasing-
asingkan pembawaan hidupnya menghadapi segala macam kerumitan. 
Pendekatan Gestalt menumpukan penyatuan seorang manusia itu dari
segala aspek mental, emosi dan tingkahlakunya.  Ketiga-tiga ciri
ini tidak boleh dipisahakn.  Kesejahteraan itu wujud hasil daripada
tanggungjawab seseorang individu yang bertindak secara bersatu
dalam segala perlakuan, pemikiran dan kenyataan emosinya. 

     Pendekatan kaunseling yang menumpukan tingkahlaku pula kurang
mementingkan aspek-aspek emosi yang bergolak dalam diri seseorang
individu.  Malahan, mengikut kefahaman pendekatan ini, individu itu
bergerak ke arah suatu tingkahlaku hasil daripada pembelajaran. 
Aspek-aspek pembelajaran yang menumpukan konsep-konsep rangsangan
dan gerak balas merupakan gejala yang penting untuk menghasilkan
tingkahlaku bagi seorang individu.  Disamping interaksi rangsangan-
gerak balas ini, ada ketikanya terdapat keadaan dimana alam
persekitaran sebagai pengaruh luaran juga membantu pengubahan
pembelajaran itu.  

     Kefahaman konsep pembawaan manusia adalah berbeza di antara
pendekatan-pendekatan kaunseling dari lapangan afektif, tingkahlaku
atau pun pemikiran.  Mengikut kefahaman pendekatan pemikiran,
segala kerumitan yang dialami oleh seorang individu adalah hasil
daripada kesilapan pemikiran.  Kesilapan pemikiran ini berpunca
daripada pemikiran yang tidak rasional.  Pendekatan yang
menggunakan proses kaunseling bermirip pemikiran berpendapat bahawa
seorang individu itu mempunyai segala potensi untuk berfikir secara
rasional dan tidak rasional.  Pemikiran yang tidak rasional adalah
hasil daripada pengalaman pembelajaran.

     Segala pemikiran seorang individu tertakluk kepada pengalaman-
pengalaman serta persepsinya tentang baik buruk terhadap sesuatu
perkara yang sedang dihadapi.  Keputusan untuk bertindak yang
dibuat oleh seorang individu adalah berpunca daripada hasil
pemikiran.  Oleh yang demikian, segala pemikiran rasional dan tidak
rasional yang wujud dalam sistem kepercayaan seorang individu sudah

melalui ciri-ciri pengukukuhan dari aspek pembelajaran.  Sudah
tentunya bagi seorang yang sentiasa menggunakan pemikiran yang
tidak rasional, sistem membuat keputusannya juga pada hakikatnya
berpunca daripada sistem pemikiran yang tidak berkesan.  Proses
kaunseling mengikut pendekatan Pemikiran berhasrat untuk memberi
kesedaran kepada klien supaya meneliti sistem kepercayaan tentang
membuat keputusan berdasarkan kepada sistem pemikiran yang baru. 
Di samping ini, sistem pemikiran yang baru ini membolehkan seorang
individu itu mencari segala alternatif yang rasional untuk
membolehkan beliau membuat suatu keputusan yang berkesan.

     Penerimaan suatu konsep pembawaan manusia adalah sangat rapat
dengan sistem dan pendekatan kaunseling yang akan digunakan olih
seorang kaunselor.  Walau apa pun sistem yang digunakan, suatu ciri
yang agak serupa memang wujud dalam kesemua pendekatan yang telah
dibincangkan.  Proses kaunseling tidak dapat lari daripada unsur
untuk memberi kesedaran wawasan perubahan, baik dari segi emosi,
tingkahlaku, atau pun pemikiran.  Konsep keupayaan seorang manusia
itu berdaya untuk membuat pengubahan pada dirinya adalah suatu
konsep yang induk dalam profession kaunseling.  Seorang kaunselor
itu bukan sahaja memberi harapan kepada kliennya, malahan beliau
memulakan suatu rentasan jalan untuk klien memilih serta membuat
keputusan tentang alternatif-alternatif yang baru.

© othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)



Kata Kunci:

     Kesejahteraan
     Swadiri yang ideal
     Kaunseling Pemusatan Perorangan
     Kaunseling Gestalt
     Kongruen
     rangsangan-gerak balas



SOALAN UJI SENDIRI:

     1.Huraikan penempatan dan kedudukan pendekatan kaunseling  
         mengikut struktur dua dimensi.

Pindah ke laman forum dan maklum balas

 

KE LAMAN TEORI KAUNSELING


© othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)