MODUL 12

TEORI EKLEKTIK DAN SISTEM PRAGMATIK 


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)




MODUL 12   TEORI EKLEKTIK DAN SISTEM PRAGMATIK

Perkaitan Subjek:

     Modul ini mendedahkan pelajar kepada Teori Eklektik;
rasional perubahan personaliti; proses kaunseling teori eklektik. 
Perlaksanaan sistem pragmatik.  

Sumber Pembelajaran:

      1.   Pandangan umum tentang kandungan modul
      2.   Konsep penting dalam teori eklektik
      3.   Bahan bacaan

Tajuk Pembelajaran:

      Modul yang berikut akan membantu pelajar memahami secara
umum tentang asas teori eklektik: 

1.  Pengenalan kepada teori eklektik
2.  Ciri utama dalam teori eklektik
3.  Analisis sistem pragmaktik



Kaedah Belajar:

      Membaca, memikir kembali dan menganalisis nota.         
Penilaian:

      1.  Setelah anda membaca sebahagian atau                    
          keseluruhan modul ini, sila jawab soalan uji sendiri.


Teks Wajib:
	  Othman Mohamed (2000). Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan
	     dalam Kaunseling.  Serdang, Selangor: Penerbit Universiti
             Putra Malaysia.

          Corsini, R. J. (1984).  Current psychotherapies. USA:   
             P.E. Peacock Publishers Inc.


TOPIK 1:  PENGENALAN KEPADA TEORI EKLEKTIK

     Inovasi dalam pendekatan kaunseling berkembang dengan luas
dan ahli psikologi kaunseling sudah berani mengemukakan teori
baru berasaskan struktur teori personaliti masing-masing. 
Sehingga sekarang terdapat lebih kurang 250 teori kaunseling yang
dimajukan oleh ahli terapis.  Walaupun begitu banyak teori yang
diusahakan, pendekatan yang dikemukakan dalam semua modul sebelum
ini merupakan antara teori yang standard dalam terapan penggunaan
oleh kaunselor.  Barangkali munculnya begitu banyak teori adalah
disebabkan rasa tidak selesa ahli terapis menggunakan teori yang
standard.

     Inovasi tidak semestinya menggubal sesuatu teori yang baru
dari keadaan kekosongan.  Inovasi boleh juga berpunca daripada
penggabungan beberapa teori yang standard.  Ramai kaunselor yang
telah mendapati penggabungan beberapa ciri pendekatan kaunseling
boleh memberi kesan tentang perlaksanaan dan perubahan terhadap
kliennya.  Norcross (1986) menyatakan, sekarang hampir satu
pertiga daripada kaunselor yang menjalankan praktis di Amerika
Syarikat menggunakan sistem integrasi pendekatan kaunseling
eklektik.  Walau bagaimanapun, istilah eklektik agak diguna
dengan longgar serta berleluasa tanpa menentukan proses yang
standard.  Penyebab paling penting terapis memilih sistem
eklektik adalah rasa tidak selesa dengan penggunaan satu bidang
pendekatan yang mirip pada satu teori sahaja.  Teori eklektik
berpegang pada satu fahaman bahawa kaedah yang baik diterap dari
berbagai sistem dan pendekatan kaunseling.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)


-----------------------------------------------------------------

Kata Kunci:

     inovasi
     selesa
     integrasi

-----------------------------------------------------------------

TOPIK 2:  CIRI UTAMA DALAM TEORI EKLEKTIK


      Sistem eklektik merupakan satu usaha bagi menyatukan cara
hubungan yang mesra diantara berbagai pedekatan.  Usaha ini juga
berkaitan dengan cara bagi merapatkan ke arah satu pertemuan yang
baik dalam penggunaan sistem tersebut.  Cara yang demikian
merupakan satu permulaan bagi mengabungkan kaedah yang pelbagai
itu ke arah satu sistem yang munasabah untuk dilaksana dalam
proses kaunseling.  Walau bagaimanapun penggabungan tidak boleh
disamakan dengan teori eklektik, tetapi antara satu kaedah dalam
teori eklektik adalah penggabungan.

     Antara kaedah penggabungan yang boleh diguna pakai adalah
sistem kaunseling pragmatik.  Sistem kaunseling prakmatik lebih
menumpukan kepada suatu pendekatan yang begitu sistematik dengan
berasaskan strategi yang telah difikirkan secara rasional
disamping penumpuan kepada satu struktur pendekatan kaunseling
yang benar-benar dianuti oleh kaunselor (Baruth dan Huber, 1985). 
Pendekatan prakmatik memerlukan seorang kaunselor itu benar-benar
mempunyai konsep bidang kerja yang teratur serta berpandukan
kepada teori yang asas mengikut lapangan pilihannya yang berpunca
sama ada daripada lapangan pemikiran, emosi atau tingkahlaku.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)


-----------------------------------------------------------------

Kata Kunci:

     menyatukan
     pertemuan

-----------------------------------------------------------------

TOPIK 3:  ANALISIS SISTEM PRAGMATIK


     Perspektif kaunseling secara pragmatik.  Sintesis yang
sistematik serta integrasi lapangan pemikiran, emosi dan
tingkahlaku merupakan intipadu kaunseling secara pragmatik. 
Sintesis yang sistematik ini dapat di lihat dalam rajah 3. 
Contoh ini menggambarkan aliran proses kaunseling mengikuti
orientasi kaunseling yang utama berikutan dengan orientasi
kaunseling yang membantu proses kaunseling utama tersebut.  

     Modaliti kaunseling pragmatik memberi peluang kepada seorang
kaunselor menggunakan teknik kaunseling sesuai dengan kehendak
dan tahap berfungsi seorang klien.  Proses yang fleksibel ini
memberi kesan yang maksima kepada kejayaan proses kaunseling yang
dilaksanakan (Ward, 1983).  Cormier dan Cormier (1979) juga telah

melaporkan bukti bahawa ramai kaunselor yang menggunakan berbagai
strategi dalam proses kaunseling mereka.  

               ALIRAN PROSES KAUNSELING PRAKMATIK

       Tahap 1                             Tahap 2                                         Tahap 3

Fokus terhadap           Intevensi, tujuan dan penilian                           Hasil 
kaunseling utama         yang membantu kaunseling utama                  

                         Tingkahlaku  ------>  Pemikiran                           Wawasan
     
  AFEKTIF   
                         Pemikiran    ------>  Tingkahlaku                         Wawasan
                         Afektif         ------>  Pemikiran                            Wawasan


   TINGKAHLAKU  
                         Pemikiran    ------>  Afektif                                  Wawasan
                         Afektif         ------>  Tingkahlaku                        Wawasan

  PEMIKIRAN  
                         Tingkahlaku  ------>  Afektif                                Wawasan


                                Rajah 3                          
 
     Dengan menggunakan pendekatan pragmatik, seorang kaunselor
dapat menggunakan faedah orientasi kaunseling yang sudah tegap
dalam pendekatan perlaksanaan proses.  Di samping itu, selain
daripada memberi fokus kepada satu orientasi kaunseling,
kaunselor juga dapat menggunakan teknik dari dua fokus lapangan
orientasi lain yang boleh membantu kelemahan kunseling yang
utama.  Proses pendekatan pragmatik memerlukan kaunselor membuat
penilaian, menentukan tujuan kaunseling dan seterusnya
melaksanakan intevensi yang perlu, mengikuti orientasi kaunseling
utama yang dominan.  Fokus kepada orientasi yang utama juga
bermakna hanya satu aspek perkembangan klien sama ada fikiran,
emosi atau tingkahlaku yang terlibat dalam proses rawatan. 
Penumpuan kepada satu aspek perkembangan sahaja, misalnya emosi,
tidak mencukupi untuk mendatangkan perubahan kepada keseluruhan
profail klien yang melibatkan fikiran, emosi dan tingkahlaku. 
Oleh yang demikian suatu sintesis kepada ketiga-tiga aspek
fikiran, emosi dan tingkahlaku dapat menjamin agar hasil
kaunseling menjadi lebih sempurna.

     Seterusnya, pada tahap kedua dalam pendekatan kaunseling
pragmatik, kaunselor juga perlu membuat penilian, menentukan
tujuan kaunseling dan melaksanakan intevensi mengikut dua
orientasi kaunseling yang sepakat untuk membantu orientasi
kaunseling yang utama.  Pada keseluruhannya hasil yang hendak
dicapai oleh pendekatan pragmatik agak serupa, iaitu wawasan,
walaupun apa sahaja aliran proses yang diikuti oleh seorang
kaunselor itu.  Dalam keadaan demikian, proses kaunseling menjaji
lebih komprehensif dan wujud suatu integrasi antara aspek
fikiran, emosi dan tingkahlaku.  

     Walau bagaimanapun, memulakan proses kaunseling hanya dengan
menerapkan teori serta pendekatan yang terpilih oleh kaunselor
tidak akan menjamin kesan ke atas proses tersebut.  Banyak lagi
elemen yang mesti diambil kira bagi menentukan proses kaunseling
berkesan dalam menangani masalah yang dihadapi klien.  Diagnosis
permulaan serta perancangan rawatan juga wajar dilaksanakan bagi
menentu bahawa klien benar dapat satu rawatan yang teratur dan
jitu.  Pada hakikatnya, kemahiran dan pengalaman kaunselor, di
samping kefahaman mendalam tentang pendekatan dan teori juga
menjadi pembolehubah penting bagi mempengaruhi kesan proses
kaunseling secara keseluruhannya.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)


Kata Kunci:

     fokus kaunseling utama
     intevensi
     tujuan
     penilaian
     hasil

Pindah ke laman forum dan maklum balas

KE LAMAN TEORI KAUNSELING


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)

-----------------------------------------------------------------