MODUL 11

TEORI ANALISIS SALINGHUBUNG


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)






TEORI ANALISIS SALINGHUBUNG

Perkaitan Subjek:

     Modul ini mendedahkan pelajar kepada bidang teori Analisis
Salinghubung.  Tumpuan adalah diberi kepada latar belakang teori;
falsafah dan konsep penting teori analisis salinghubung; rasional
perubahan personaliti; proses kaunseling analisis salinghubung.

Sumber Pembelajaran:

      1.   Pandangan umum tentang kandungan modul
      2.   Konsep penting dalam teori analisis salinghubung
      3.   Bahan bacaan

Tajuk Pembelajaran:

      Modul yang berikut akan membantu pelajar memahami secara
umum tentang asas teori analisis salinghubung: 

1.  Pengenalan kepada teori analisis salinghubung
2.  Ciri utama dalam analisis salinghubung
3.  Analisis berstruktur
4.  Pandangan terhadap tingkah laku manusia
5.  Kaunseling mengikut Teori Analisis Salinghubung
6.  Matlamat kaunseling


Kaedah Belajar:

      Membaca, memikir kembali dan menganalisis nota.
       
Penilaian:

      1.  Setelah anda membaca sebahagian atau                    
          keseluruhan modul ini, sila jawab soalan uji sendiri.


Teks Wajib:
	  Othman Mohamed (2000).  Prinsip Psikoterapi dan Pengurusan
	     dalam Kaunseling. Serdang, Selangor: Penerbit Universiti
	     Putra Malaysia.

          Corsini, R. J. (1984).  Current psychotherapies. USA:   
             P.E. Peacock Publishers Inc.



TOPIK 1:  PENGENALAN KEPADA TEORI ANALISIS SALINGHUBUNG


     Teori Analisis Salinghubung mula dipelopori oleh Eric Berne
dalam tahun 1950an.  Sebagai satu teori, pendekatannya berasaskan
kepada proses analisis berstruktur serta penerapan tentang teori
Skrip.  Mengikut fahaman teori ini, setiap individu sudah
menetapkan kedudukan serta merancang cara hidupnya yang tersendiri,
di samping bersunguh-sunguh melaksanakannya tanpa disedari.

     Kebanyakan daripada tindak-tanduk skrip individu itu dapat
berkembang hanya selepas dibentuk dengan sempurna melalui permainan
pendirian ego yang dilaksana oleh individu tersebut.  Permainan
pendirian ego ini pula memberi sokongan kepada muslihat tabiat
seorang individu yang mana usahanya akan hanya ditentukan oleh
skrip tersebut.

     Sehubungan dengan skrip yang telah ditetapkan itu, terdapat
juga analisis tentang penempatan hidup diri seorang individu dengan
orang lain.  Penempatan hidup ini merupakan satu fahaman bagaimana
seseorang itu sedar tentang penerimaan dirinya sendiri di samping
ia boleh menerima diri orang lain.  Maka di sini terlahir satu
struktur yang teratur tentang penempatan kehidupan yang diterimaa
oleh seseorang individu.  Dalam teori analisis salinghubung
terdapat empat gaya penempatan kehidupan:

     1. Saya OK; anda OK:
        Saya menerima diri saya; saya menerima diri anda

     2. Saya OK; anda tidak OK:
        Saya menerima diri saya; saya tidak menerima diri anda

     3. Saya tidak OK; anda OK:
        Saya tidak menerima diri saya; saya menerima diri anda

     4. Saya tidak OK; anda tidak OK:
        Saya tidak menerima diri saya; saya tidak menerima diri   
                                       anda


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)



Kata Kunci:

    salinghubung
    gaya penempatan kehidupan



TOPIK 2:  CIRI UTAMA DALAM ANALISIS SALINGHUBUNG


     Skrip.  Skrip seperti penempatan kehidupan sudah terancang
dari awal dalam diri seorang individu.  Penempatan kehidupan
seperti yang dipersepsikan individu itu merupakan penentuan yang
mengarah cara hidup dan kegiatan seseorang.  Walau bagaimanapun,
ada juga skrip timbalbalik yang mengawal perancangan skrip awal
yang tidak disedari oleh seseorang individu.  Skrip timbalbalik ini
berasaskan arahan-arahan yang diterima dari ibu bapa tentang
bagaimana kehendak seseorang itu boleh diterima pakai.

     Permainan pendirian ego.  Skrip seperti penempatan kehidupan
berkait rapat dengan permainan pendirian ego yang dilakukan oleh
seseorang individu.  Konsep permainan dalam teori analisis
salinghubung bermaksud ciri saling hubungan yang berlaku antara dua
pihak dalam interaksi sesama insan.  Interaksi sedemikain berlaku
serentak dalam suasana saling hubungan tersebut tetapi pada
hakikatnya tersirat dua tahap komunikasi yang berbeza.  Permainan
seperti ini mempunyai hasilnya yang tersendiri.

     Pendirian ego merupakan satu sistem perasaan yang tersusun
bersama dengan hubungan corak tingkah laku.  Corak tingkah laku ini
juga ada yang baik dan ada juga yang jahat dalam pembinaan struktur
personaliti seseorang individu.  Corak ini merupakan satu bentuk
pengalaman serta perasaan yang memang konsisten dan sealiran dengan
satu bentuk tingkah laku yang juga konsisten.  Dalam fahaman teori
analisis salinghubung, pendirian ego merupakan asas dalam penentuan
corak analisis berstruktur.  Eric Berne telah menyarankan bahawa
dalam diri seseorang ada tersemat pendirian ego sebagai seorang ibu
bapa, seorang dewasa dan seorang kanak-kanak.  Analisis seperti ini

sangat berguna kerana seseorang kaunselor akan dapat menentukan
dari segi manakah seorang klien sedang memikir atau bertinglah laku
dalam interaksinya dengan orang lain.

     Pendirian ego sebagai ibu bapa.  Seorang individu yang berada
dalam keadaan ini akan rasa, memikir, bercakap serta menunjukkan
sebagai seorang ibu bapa.  Pendirian ego ini aktif dan biasanya
berfungsi sebagai hati kecil nurani seorang insan.

     Pendirian ego sebagai dewasa.  Seorang individu yang berada
dalam keadaan ini akan membuat sesuatu penilaian alam sekelilingnya
secara objektif dan bergerak, berinteraksi, menilai sesuatu acara
berdasarkan kepada pengalamannya.

     Pendirian ego sebagai kanak-kanak.  Tiap-tiap seorang
mempunyai ciri keanak-anakan dalam dirinya.  Seorang yang berada
dalam keadaan pendirian ego ini akan rasa, memikir, bercakap,
melakukan gerak balas secara kanak-kanak.  Contoh secara grafik
adalah seperti dalam rajah 1.




                                 Ibu
                                  Bapa




                                 Dewasa




                                 Kanak
                                 -kanak   



                          Rajah 1


     Muslihat tabiat.  Hasil daripada permainan pendirian ego pada
biasanya berbentuk perasaan yang spesifik seperti rasa bersalah,
murung, moyok, marah dan sebagainya.  Dalam teori analisis
salinghubung, perasan tersebut diibaratkan sebagai setem yang
disimpan.  Istillah setem ini menyerupai konsep kupon yang biasa
disimpan oleh seorang pelanggan apabila membeli belah di
supermarket sebagai ganti wang atau ditukarkan dengan pembelian
barangan yang sedang ditawarkan harga istimewa.  Kupon atau setem
ini dikiaskan bagi mengambil alih perasaan yang disimpan dan
ditukarkan sebagai hasil perasaan, sama ada marah, moyok dan
sebagainya.  Simpanan setem atau perasaan inilah yang dikonsepkan
sebagai muslihat tabiat dalam teori analisis salinghubung.

     Sebagai contoh, individu yang menyimpan perasan murung telah
memainkan muslihat tabiat kemurungan.  Permainan ini diguna dengan
tujuan bagi memuaskan kehendaknya mendapat satu hasil belas kasihan
dari orang lain.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)  


Kata Kunci:

     skrip
     permainan pendirian ego
     setem
     hasil
     muslihat tabiat
     pendirian ego ibu bapa
     pendirian ego dewasa
     pendirian ego kanak-kanak

SOALAN UJI SENDIRI

     1.   Bincang perkaitan antara pendirian ego dengan penempatan 
          kehidupan.

     2.   Hurai dengan ringkas konsep berikut:
          a)  skrip
          b)  muslihat tabiat
          c)  pendirian ego dewasa



   
TOPIK 3:  ANALISIS BERSTRUKTUR
 
     Enam pendirian ego akan kemungkinan terlibat dalam interaksi
antara dua orang, seperti dalam rajah 2.


                 X                           Y



     1           IB                  4       IB





     2            D                  5        D





     3           KK                  6       KK




                             Rajah 2


     Di bawah individu X akan terdapat tiga pendirian ego, 1, 2 dan
3 sebagai ibu bapa, sebagai dewasa dan sebagai kanak-kanak.  Begitu
juga keadaannya dengan individu Y bagi pendirian ego 4, 5, dan 6.
Dalam interaksi salinghubung, berbagai ciri interaksi akan berlaku
antara dua individu yang melibatkan pendirian ego masing-masing.  

     Antara interaksi salinghubung yang biasa berlaku adalah 1)
salinghubung sealiran; 2) salinghubung bersilang; 3) salinghubung
berpenjuru; dan 4) salinghubung berbendung.
     Salinghubung sealiran.  Dalam keadaan ini, komunikasi antara
dua orang boleh berterusan sekiranya vektor saling hubungan itu
terus beraliran seperti dalam rajah 3.


               X                           Y



              IB                          IB



               D                           D



              KK                          KK



                             Rajah 3


     Salinghubung bersilang.  Dalam keadaan ini, vektor saling
hubungan antara dua orang yang terlibat semasa berkomunikasi
bersilang.  Individu X berkomunikasi dengan individu Y secara
pendirian ego Dewasa kepada Dewasa.  Manakala individu Y pula
bergerak balas secara menerap pendirian ego Kanak-kanak kepada Ibu
Bapa.  Salinghubung seperti ini banyak berlaku dalam saling
hubungan yang mengakibatkan pertelingkahan. (lihat rajah 4).


               X                           Y



              IB                          IB




               D                           D




              KK                          KK



                             Rajah 4
     Salinghubung berpenjuru.  Dalam keadaan ini individu X
sebenarnya bertujuan untuk memikat pendirian ego yang berlainan

dari pendirian ego dewasa individu Y.  Kemungkinan individu X
berkehendakkan pendirian ego kanak-kanak Y atau pendirian ego ibu
bapa Y yang memberi gerak balas. (lihat rajah 5).



               X                           Y



              IB                          IB



               D                           D



              KK                          KK



                             Rajah 5


     Dalam keadaan ini, adalah diperhatikan bahawa individu X mula
dengan saling hubungan berpendirian ego Dewasa ke arah pendirian
ego Dewasa individu Y.  Interaksi ini secara berurusan sosial dan
jelas antara Dewasa kepada Dewasa.  Garisan yang terputus-putus
antara Dewasa ke arah Kanak-Kanak; dan antara Dewasa ke arah Ibu
Bapa merupakan lapisan psikologikal atau pemikiran yang
tersembunyi.

     Dalam contoh di dalam rajah 5, salinghubung berpenjuru itu
berjaya dilakukan oleh individu X kerana individu Y bergerak balas
secara Dewasa kepada Dewasa.

     Salinghubung berbendung.  Dalam keadaan ini, walaupun
salinghubung pendirian ego dewasa individu X merangsang ke arah
pendirian ego dewasa Y, suasana ini hanya merupakan interaksi
sosial.  Pada dasarnya tersirat di dalam hasrat kedua individu
tersebut satu tahap psikologikal yang lain.  Dalam contoh di dalam
rajah 6, tahap pendirian ego sebenar antara kedua individu tersebut
adalah diantara pendirian ego kanak-kanak.







               X                           Y


              IB                          IB



               D                           D



              KK                          KK


                             Rajah 6


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)  


Kata Kunci:

    salinghubung sealiran
    salinghubung bersilang
    salinghubung berpenjuru
    salinghubung berbendung



SOALAN UJI SENDIRI

     1.  Huraikan konsep analisis berstruktur.



   
TOPIK 4: PANDANGAN TERHADAP TINGKAH LAKU MANUSIA

   
     Pandangan teori analisis salinghubung berkisar pada alam
sebenar dalam interaski individu dan antara individu dengan
kelompoknya.  Interaksi sedemikian mengambil kira tentang desakan
biologikal semulajadi manusia.  Faktor yang paling rapat dengan
desakan biologikal ini adalah faktor kehendak untuk hidup atau
`survival'.  Di samping ini, suasana sehariaan juga merupakan
sebagai elemen yang mempengarugi corak analisis saling hubungan
manusia bagi menentukan corak rasa kepuasan diri seperti berikut:
1) keinginan bagi mendapat diterima; 2) keinginan berstruktur; 3)
keinginan bagi memeriahkan diri; 4) keinginan bagi mendapatkan
pengiktirafan; dan 5) keinginan bagi mendapatkan kepemimpinan.

     Keinginan diterima.  Keinginan ini merupakan kehendak asas
yang dialami oleh kanak-kanak.  Kanak-kanak memerlukan kemanjaan
serta kontak dengan ibu bapanya.  Kanak-kanak memerlukan kontak
fizikal dan kemanjaan kasih sayang, di samping berkehendakkan
perhatian.
     Keinginan berstruktur.  Sebagai seorang manusia yang
menggunakan masa seharian bekerja, seorang individu akan menentukan
keutamaan mengguna masa.  Seorang individu akan menentukan apakah
kehendak yang diperlukan dalam satu hari.  Pemilihan waktu lapang
dan masa yang berlebihan menjadi satu daya usaha bagi mengstruktur
penggunaan masa yang optima untuk kepentingan dirinya.

     Keinginan memeriahkan diri.  Cetris paribus atau semua perkara
tetap sama, maka seorang individu akan mencari cara bagi
menggunakan masanya secara yang meriah.  Ini merupakan satu daya
dalam diri individu.  Individu memang mempunyai ciri kegembiraan
diri yang tersemat dalam perasaannya.
     
     Keinginan pengiktirafan.  Selain daripada kegembiraan individu
dan diterima dalam kontak kanak-kanak, seorang manusia juga apabila
dewasa berkehendakkan pengiktirafan kewujudannya.  Interaksi yang
berkesan seharian memerlukan seorang manusia mengiktiraf kewujudan
rakannya dan orang lain yang signifikan.  Lumrahnya seorang
individu akan memberi salam, memberi hormat tentang kehadiran
seorang yang lain dalam kelompok interaksinya.

     Keinginan kepemimpinan.  Ciri ini sangat berkait rapat dengan
keinginan berstruktur.  Keinginan berstruktur memerlukan seorang
itu menggunakan masanya secara optima tujuan memberi peluang untuk
membantu orang lain.  Ciri ini sangat penting bagi menggalakkan
suasana dalam diri seorang individi itu satu kehendak melaksanakan
keinginan kepemimpinan.  Kualiti ini akan mengeluarkan dalam diri
seorang individu perasaan dan desakan dalamannya untuk memimpin.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)  


Kata Kunci:

     keinginan diterima
     keinginan berstruktur
     keinginan memeriahkan diri
     keinginan pengiktirafan
     keinginan kepemimpinan.


   

TOPIK 5: KAUNSELING MENGIKUT ANALISIS SALINGHUBUNG
   
     Proses kaunseling.  Seperti yang digalakkan oleh pendekatan
pendekatan kaunseling lain, tempat kaunseling mengikut analisis
salinghubung juga mementingkan tempat yang tidak bising, suasana
yang selesa dan menyenangkan hati.  Pita rakaman boleh digunakan
dengan izin klien.  

     Pada biasanya, interaksi kaunseling memerlukan satu kontrak
yang dipersetuji antara kaunselor dengan klien.  Klien akan diminta
memberi penjelasan apakah perkara yang hendak diberi pertolongan
atau diperbaiki.
     Dalam proses kaunselingnya, kaunselor dan klien diiktiraf
sebagai mempunyai taraf yang sama, sungguhpun mempunyai hak masing-
masing yang tersendiri.  Dalam proses kaunseling, kaunselor mesti
dapat menentukan manakah perkara yang relevan atau tidak relevan
dan wajar boleh membuat pengasingannya.  Di samping itu, kaunselor
juga hendaklah menentukan kekerapan perjumpaan sessi kaunselingnya
dengan klien.
     Sebelum proses kaunselling dimulakan, kaunselor dikehendaki
membuat satu diagnosis tentang keadaan klien dan tahap kerumitan
yang klien sedang hadapi.  Diagnosis ini berkesan sekiranya
kaunselor sudah dapat memahami empat isi kandungan penderian ego
seperti berikut: 1) kuasa bertindak; 2) penyesuaian; 3) biologikal;
dan 4) kesan mental.

     Kuasa bertindak.  Tiap-tiap satu pendirian ego mempunyai
coraknya tersendiri berhubung dengan tingkah laku.

     Penyesuaian.  Tiap-tiap pendirian ego mampu menyesuaikan gerak
balas tingkah lakunya berkaitan dengan suasana sosial dimana
seorang individu itu sedang giat bergerak.

     Biologikal.  Gerak balas individu disesuaikan hasil daripada
pertumbuhan yang semulajadi. Gerak balas ini juga adalah hasil
daripada pengalaman lampau.

     Kesan mental.  Ini merupakan fenomena pengalaman mental
individu.


     Di samping memahami tentang penderian ego, kaunselor boleh
mengenal pasti diagnosis mengikut kategori berikut:

     a)  Diagnosis tingkah laku:  Penumpuannya adalah kepada kata-
kata, gerak geri, ciri sesuatu penderian ego.

     b)  Diagnosis operasional:  Penumpuannya adalah kepada cara
gerak balas suasana persekitaran secara sosial.

     c)  Diagnosis sejarah:  Penumpuan kepada pengaruh dan
pengalaman daripada ibu dan bapa.

     d)  Diagnosis fenomenologikal:  Penumpuan secara keseluruhan
tentang asimilasi pengalaman, di samping mengambil kira ciri
prejudis dan pengaruh pengasuhan oleh ibu bapa.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)  


Kata Kunci:

    suasana selesa 
    kontrak
    kuasa bertindak
    penyesuaian
    biologikal
    kesan mental
    diagnosis



   
TOPIK 6:  MATLAMAT KAUNSELING

        
     Pada akhir sessi kaunseling analisis salinghubung, adalah
diharapkan klien dapat menikmati keupayaan untuk berinteraksi
dengan lebih sempurna.  Hasrat kaunselor wajarlah menuju ke arah
membantu kliennya mencapai kesempurnaan interaksi diri dengan orang
lain.  Secara operasional, matlamat yang dikehendaki adalah
perubahan serta pembaharuan pendirian ego dalam swadiri klien agar
dapat menjurus ke arah perubahan perlakuannya.

     Hakikat pembaharuan ini akan hanya dapat tercapai dengan
perubahan pengstrukturan semula pemikiran dan persepsi klien
terhadap suasana sebenarnya.  Proses kaunseling hanya merupakan
pemangkin dan secara sengaja mengolahkan suasana yang terapeutik. 
Pada akhirnya, klien wajar dapat secara sendiri memilih untuk
mengubahkan penempatan kehidupannya antara diri swadiri dengan
orang lain dalam kehidupannya yang sebenar.  Bagi kaunselor yang
menjadi tunjang pengolah suasana terapeutik, keupayaan klien untuk
menjalinkan pendirian ego yang sealiran adalah satu idaman ulung
sebagai matlamat terapi.

     Matlamat kaunseling yang hendak dicapai akan memerlukan
kaunselor bergerak secara aktif bagi mengenal pasti corak yang
wujud dari pendirian ego klien.  Tidak semua corak pendirian ego
yang merupakan asas analisis struktur berada dalam keadaan yang
jelas kategorinya.  Ciri pencemaran dalam pendirian ego boleh
merumitkan proses kaunseling sekiranya tidak dapat dihindar dan
dihapuskan.

     Pencemaran ego.  Ini merupakan satu keadaan dimana satu
pendirian ego memasuki ke dalam kawasan pendirian ego yang lain. 
Contohnya, prejudis yang dialami oleh pendirian ego ibu bapa
dijadikan sebagai fakta benar oleh pendirian ego dewasa.  Atau pun
khayalan kanak-kanak diterima pakai sebagai benar oleh pendirian
ego dewasa.  Contoh ini dapat dicerap seperti dalam rajah 7.











                                  Ibu 
                                   Bapa





                                  Dewasa





                                  Kanak
                                  -kanak   




                             Rajah 7


     Pengasingan.  Ini merupakan satu keadaan melampau dimana satu

ciri pendirian ego itu kekal dikemukakan oleh seorang individu
semasa berhadapan dengan sesuatu suasana yang mengancamnya. 
Contohnya, individu yang tetap akan berpendirian dengan pendirian
ibu bapa, atau kanak-kanak, atau dewasa.

     Dalam menjalankan proses kaunseling, banyak teknik yang diguna
oleh analisis salinghubung dipinjam dari terapi Gestalt, Psikodrama
dan Modifikasi Tingkah Laku Kognitif.


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)  


Kata Kunci:

     pencemaran ego
     pengasingan
     


SOALAN UJI SENDIRI

     1.  Bincangkan penggunaan diagnosis dalam proses kaunseling  
         analisis salinghubung.

     2.  Huraikan dengan memberi contoh konsep pencemaran pendirian 
         ego.

Pindah ke laman forum dan maklum balas

KE LAMAN TEORI KAUNSELING


copyright © othmanmohamed 1997(Professor Madya Dr. Othman Dato' Haji Mohamed)