Utama
Pengenalan
Organisasi
Program
Jabatan
Staf
Siswazah
Penyelidikan
Unit LMPK
Alumni
FPPLMS
MS ISO 9001:2000
Kemudahan
e-Galeri
Hubungi Kami
Peta Laman
AJK Laman Web
Jaringan

 

 
 
 
 
 

Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) ditubuhkan pada 15 Januari 1975. Pada awal penubuhannya, FPP dikenali sebagai Fakulti Perkhidmatan Pendidikan selaras dengan fungsi utama Fakulti pada ketika itu. Ia menawarkan kursus-kursus kepada pelajar yang mengikuti program pengajian Diploma Sains Dengan Pendidikan dan Bacelor Sains Dengan Pendidikan (Kepujian) yang ditawarkan oleh Fakulti Sains dan Pengajian Alam Sekitar. Selain itu, FPP menawarkan kursus-kursus elektif dan umum yang diambil oleh pelajar daripada pelbagai fakulti di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) ketika itu.

Mulai 1976, FPP mula menawarkan program pengajiannya sendiri, bermula dengan program Bacelor Pendidikan (Sains Pertanian) dan Bacelor Pendidikan (Sains Rumah Tangga). Pada awal 1980an, FPP menambahkan lagi program pengajian yang meliputi Bacelor Pendidikan dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling, Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama, Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, dan Pendidikan Jasmani.

Pada awal penubuhan, FPP hanya mempunyai tiga jabatan, iaitu Jabatan Pendidikan, Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Jabatan Bahasa. Pada 1989, FPP mengalami perubahan struktur apabila dua daripada tiga jabatan tersebut, iaitu Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Jabatan Bahasa membentuk fakulti baharu. Jabatan Sains Kemasyarakatan bergabung dengan Jabatan Pembangunan Manusia, Fakulti Pertanian untuk menjadi Fakulti Ekologi Manusia. Sementara Jabatan Bahasa bergabung dengan Jabatan Komunikasi, Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan untuk menjadi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi.

Pada 1996, berikutan dengan penyertaan Jabatan Pendidikan Pengembangan, FPP mempunyai dua jabatan iaitu Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Pengembangan. Pada 1997 Jabatan Pendidikan Pengembangan telah ditukar nama kepada Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan.

Pada 2002, FPP sekali lagi mengalami perubahan struktur. Empat jabatan baharu ditubuhkan sebagai rombakan semula Jabatan Pendidikan. Jabatan baharu yang ditubuhkan ialah Jabatan Asas Pendidikan, Jabatan Pendidikan Bahasa dan Kemanusiaan, Jabatan Pengajian Perlakuan dan Pergerakan Manusia dan Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal. Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan kekal seperti sedia ada.
Pada 2004, perubahan struktur berlaku dimana Jabatan Pengajian Perlakuan dan Pergerakan Manusia telah dirombak menjadi dua jabatan iaitu Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling dan Jabatan Pengajian Sukan.

 

Fakulti ini berperanan untuk melahirkan guru yang mengajar di sekolah menengah dan pegawai yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sumber manusia. Kini FPP menawarkan Bacelor Pendidikan dalam bidang Sains Pertanian, Sains Rumahtangga, Pendidikan Jasmani, Pengajaran Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Pertama, Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Bimbingan dan Kaunseling serta Teknologi Maklumat.

Selain Bacelor Pendidikan, FPP menawarkan B. S. (PSM) yang bertujuan menghasilkan pegawai latihan dan pegawai pembangunan sumber manusia untuk berkhidmat di agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan. Fakulti juga menawarkan program Diploma Belia Dalam Kerja Pembangunan untuk melahirkan pekerja belia. Program ini dimulakan pada tahun 1999 dan ia dikendalikan secara jarak jauh yang mengambil masa selama dua tahun. Program ini juga merupakan “feeder” program untuk pengajian B. S. (PSM).
Graduan program Diploma ini mempunyai prospek kerjaya yang baik dalam organisasi dan komuniti seperti Pembantu Pegawai Belia dan Sukan, Pegawai Belia dan Sukan, Penolong Pegawai Pembangunan Sosial, Penolong Pegawai Latihan, Penolong Pegawai Kaunseling, Penolong Pegawai Pembangunan Komuniti, dan Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat.

Tujuan Fakulti ini ditubuhkan adalah untuk:

  • mengelolakan program pendidikan perguruan, pendidikan pengembangan dan pembangunan sumber manusia;
  • menyelaraskan program pengajian siswazah berkaitan dengan bidang pendidikan guru;
  • menjalankan penyelidikan berkaitan bidang pendidikan, pengembangan dan pembangunan sumber manusia; dan
  • memberikan perkhidmatan profesional dan perundingan kepada agensi kerajaan

FALSAFAH FAKULTI
Usaha berterusan untuk menyerlahkan potensi individu bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani, jasmani dan ketrampilan berlandaskan kepatuhan kepada Pencipta, ke arah berperanan sebagai rakan dalam pembangunan.

VISI FAKULTI
Visi Fakulti adalah menjadi pusat pengajaran dan penyelidikan bertaraf dunia dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

MISI FAKULTI
Misi Fakulti adalah menjadi pusat penerokaan ilmu dan pembelajaran yang menyumbang kepada kemajuan manusia dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia.

MATLAMAT FAKULTI
Melahirkan graduan yang cemerlang, menghasilkan penyelidikan berkualiti dan memberi khidmat profesional dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia untuk memenuhi keperluan negara.

DASAR KUALITI
FPP beriltizam mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan pembangunan sumber manusia menerusi SPK yang sentiasa dipertingkatkan bagi memenuhi kepuasan pelanggan selaras dengan MS ISO 9001:2000.

© Hakcipta Terpelihara Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM 2008
Penafian : Universiti Putra Malaysia dan Fakulti Pengajian Pendidikan tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerugian yang dialami kerana menggunakan mana-mana maklumat yang diperolehi dari laman web ini.