| FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN

Prof. Jayakaran bantu pengajaran guru melalui perisian Retrotex- E

SERDANG – Seorang pakar pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayakaran Mukundan telah mencipta beberapa perisian yang dapat membantu para guru dalam sistem pengajaran melalui perisian Retrotext-E 2.0.

“Perisian Retrotext-E 2.0 ini merupakan pendekatan terbaru untuk menilai buku teks bagi mendapatkan data dengan lebih tepat serta dapat mengembangkan profesional guru dengan cara mengadaptasi dan memperbaiki  cara pengajaran mereka.

“Tujuan utama perisian ini adalah untuk pengubahsuaian dalam bidang pengajaran ke arah yang lebih menarik sebagai lanjutan penambahbaikan kepada perisian Retrotext 1.0 supaya lebih stabil dan mantap,” katanya yang merupakan pensyarah di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM.

Menurutnya, penilaian buku teks boleh berlaku sepanjang tahun dengan cara pengguna memasukkan data buku teks ke dalam perisian Retrotext 2.0 dan seterusnya data akan dianalisis dari pelbagai aspek terutamanya perbendaharaan kata.

Dengan adanya sistem itu katanya, guru dapat mengetahui kelebihan dan kelemahan dalam buku teks dengan cara membuat catatan selepas tamat setiap sesi pembelajaran. 

Prof. Jayakaran menggunakan konsep data triangulation dalam penilaian melalui concordance software serta penambahan instrumen lain bagi menghasilkan perisian yang dapat membantu para guru. 

Beliau menggunakan permainan sebagai bahan kajian dan akan memfokuskan kajian seperti itu pada masa akan datang.

“Idea untuk mencipta perisian ini datang hasil daripada pengajaran saya apabila terlibat dengan projek sekolah angkat beliau yang memfokuskan Maktab Rendah Sains MARA Kuala Krai Kelantan pada tahun 2011 sehingga berjaya meningkatkan prestasi pencapaian Bahasa Inggeris SPM maktab itu.

 

“Penyelidikan ini bermula pada tahun 2004 dan masih dalam fasa baik pulih dari semasa ke semasa. Inovasi ini lebih bermanfaat kerana mempunyai fungsi-fungsi baru serta lebih mesra pengguna,” katanya.

Beliau menyifatkan perisian yang pernah memenangi pingat emas pada British Invention Show, London pada tahun 2009 itu lebih selesa, mudah serta canggih bagi membantu para guru menggunakannya sehingga perisian Retrotext telah berjaya mendapatkan hakcipta dan bersedia untuk dikomersialkan di dalam mahupun di luar negara. 

Semasa menjalankan penyelidikan itu, Prof. Jayakaran telah berkolaborasi dengan beberapa orang pelajar Sarjana dan Ph.D dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM iaitu Hong Siew Swin dan Hong Siew Theng.

Falsafah pengajaran dan pembelajaran beliau adalah berlandaskan prinsipnya sendiri iaitu ‘i like my imperfections and how i challanged it all ; they just reinforce the idea that perfections bestowed is probably an unnecessary gift’.

Sebagai seorang penyelidik, beliau tidak berputus asa untuk menghasilkan sesuatu yang baru dalam bidang pendidikan dan penyelidikan terbaru beliau adalah ‘Exploring Computerized Vocabulary Games Incorporating Auto-teacher and its Impact on Student Learning’.

Prof Jayakaran yang merupakan pemegang Sarjana Pengajian Bahasa Inggeris di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ph.D dalam bidang sama di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Akademik Negara 2013 bagi kategori Anugerah Pengajaran Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan.



SXDdGAK~