| FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN

Pertanian dan Perhutanan, Pendidikan UPM - 100 terbaik universiti dunia



SERDANG
– Bidang Pertanian dan Perhutanan serta bidang Pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) diiktiraf sebagai antara 100 terbaik dunia mengatasi lebih dua ribu universiti lain baru-baru ini.

Menurut penarafan terbaru QS World University Rankings 2013/14, bidang Pertanian dan Perhutanan UPM  berkongsi  kedudukan 51 ke 100 dengan universiti Asia lain iaitu Tokyo University of Agriculture and Technology, Jepun;  Zhejiang University, China; National Taiwan University, Kyushu University, Japan; Korea University, Korea Selatan dan Chiang Mai University, Thailand.

Sebanyak tujuh universiti Asia mendapat kedudukan 50 terbaik bidang Pertanian dan perhutanan dengan Jepun memonopoli melalui lima buah universitinya iaitu Kyoto University (tempat 17), The University of Tokyo (19), Hokkaido University (35), Tohoku University (36) dan Nagoya University (48). Negara lain ialah Kasetsart University, Thailand (33) dan Seoul National University, Korea Selatan (43).
 
Sementara itu dalam bidang pendidikan pula, UPM  turut berkongsi kedudukan 51 ke 100 dengan tiga universiti Asia lain iaitu Universiti Malaya, Malaysia; Beijing Normal University dan Peking University, China dan Seoul National University, Korea Selatan.

Empat universiti Asia lain dalam kelompok 50 terbaik bidang pendidikan ialah University of Hong Kong; Nanyang Technological University, Singapura; Chinese University of Hong Kong; dan National Taiwan Normal University.

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Fauzi Ramlan ketika mengulas berkata pencapaian yang disumbangkan oleh Fakulti Pertanian, Fakulti Perhutanan, Fakulti Perubatan Veterinar dan Fakulti Pengajian Pendidikan serta institut-institut UPM yang menyokong bidang-bidang itu menunjukkan UPM berjaya membangunkan reputasi antarabangsa untuk standard akademik dan kualiti graduan.

 “Antara kriteria dalam penarafan itu ialah pembinaan profil kukuh ahli akademik, penyelidikan berimpak tinggi, pengembangan dan pengajaran kepada masyarakat dan pengiktirafan majikan terhadap graduan di seluruh dunia.

“Peningkatan prestasi fakulti dan institut bidang itu di UPM dalam  aspek pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan jaringan antarabangsa dan kebangsaan turut membantu ranking,” katanya.

“Dalam bidang pengajaran, kurikulum yang disemak semula memberi penekanan bukan saja kepada kursus utama tetapi juga kursus-kursus sampingan yang membantu dalam keterampilan siswazah,” katanya.

Selain itu Fauzi berkata UPM sentiasa menggalakkan pegawai akademiknya mengkomersilkan produk berimpak tinggi seperti rumput satiri, biobaja Bacto-10, Ayam Akar Putra dan baja Ajib.

 





SXDcUA1~