| FAKULTI PENGAJIAN PENDIDIKAN

Dr. Noor Syamilah Zakaria Pemenang Anugerah Perdana Scholar Awards USA 2014


Anugerah Perdana Scholar Awards USA 2014

DR. NOOR SYAMILAH ZAKARIA daripada Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia merupakan penerima The Perdana Scholar Award USA 2014 Kategori Penerbitan.  Anugerah ini merupakan sebuah program pengiktirafan kecemerlangan pelajar biasiswa tajaan kerajaan dalam pelbagai bidang di Amerika Syarikat.  Kategori Penerbitan khususnya dianugerahkan kepada pelajar yang telah menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah dan berjaya menerbitkan hasil penulisan berkenaan dalam pelbagai jurnal berwasit serta makalah akademik bermutu tinggi dan mendapat pengiktirafan global.  Penganugerahan ini telah disempurnakan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak pada 26 September 2014 di New York, Amerika Syarikat.

 Dr. Noor Syamilah Zakaria telah melanjutkan pengajian peringkat doktoral di University of Wyoming, Amerika Syarikat dari Ogos 2009 hingga Ogos 2013 dengan biasiswa tajaan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia, dan telah bergraduat dengan Anugerah Pelajar Siswazah Antarabangsa Terbaik pada 11 Mei 2013.  Sejurus selepas bergraduat, beliau telah menyempurnakan program pos-doktoral di universiti yang sama dengan biasiswa tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk tempoh setahun dari Ogos 2013 hingga Ogos 2014.  Pada 22 Ogos 2014, beliau telah melapor diri dan kembali bertugas di Jabatan Pendidikan Kaunselor dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia.  Minat dan kecintaan beliau terhadap profesion kaunseling menjurus kepada bidang pendidikan kaunselor dan penyeliaan, dengan tumpuan kajian dan penulisan semasa yang berfokus kepada pendidikan etika kaunseling.  Sepanjang pengajian peringkat doktoral dan pos-doktoral di Amerika Syarikat, beliau telah menerbitkan 14 buah artikel di dalam beberapa buah jurnal berwasit, 2 buah bab di dalam buku, 43 buah prosiding, dan 2 buah penulisan kreatif yang berfokus kepada tajuk- tajuk berkaitan dengan pendidikan kaunselor dan penyeliaan, pendidikan etika kaunseling, dan pendidikan keguruan.

 


SXDdPAj~