HALAMAN TIDAK DIJUMPAI

Kata Aluan Dekan

SEJAMBAK BICARA

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya kita semua berada dalam keadaan sihat walafiat seterusnya dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik-baiknya. 

Berbekal pada yang halal 

Berpetua pada yang berfaedah 

Berwasiat pada yang bermanfaat

Pertamanya, selamat datang ke Fakulti Pengajian Pendidikan. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sudi menerima saya sebagai peneraju fakulti. Sesungguhnya, tugas dan amanah ini akan menjadikan saya lebih perihatin terhadap kejayaan dan kecemerlangan FPP. Dengan bersandarkan perbidalan di atas, tanggungjawab dan amanah yang digalas ini memerlukan sokongan padu dan  komitmen daripada semua pihak. Saya memohon jasa baik tuan-tuan untuk berganding bahu bagi meneruskan kelangsungan legasi FPP yang selama ini diakui kehebatannya. Saya memohon keikhlasan semua pihak dalam usaha menggalas tanggungjawab yang sangat berat ini.

Pembelajaran dan pembelajaran yang berasaskan norma baharu kini telah mengubah senario amalan pendidikan dan budaya kehidupan kita. Justeru, saya sangat berhadap agar kita dapat menerima perubahan ini sebagai satu cabaran yang perlu ditempuh secara bijaksana. Saya yakin, setiap daripada kita memiliki potensi, kekuatan dan kelebihan tersendiri. Bak kata bidalan, 

Tahu duduk pada tempatnya
Tahu tegak pada layaknya.

Izinkan saya menekankan juga satu perkara yang tidak boleh dikesampingkan dalam kehidupan seharian kita, iaitu memahami adab dan akal budi. Adab dan akal budi merupakan tunjang kekuatan yang perlu disuburkan dalam kehidupan. Falsafah ‘Runtuh Budi Runtuhlah Bangsa’ perlu seiring dalam ledakan kemajuan teknologi dan era Relovulsi Industri 4.0 ini. Adab dan akal budi ini merupakan akar kepada wacana pendidikan yang sangat luas sifatnya itu. Oleh itu, sebagai pendidik, kita perlu menjadi model terbaik dalam usaha merealisasikan pembangunan kemanusiaan dan negara amnya.

Marilah kita menanam azam setinggi gunung untuk terus memberi yang terbaik bagi menjulang nama baik fakulti dan  universiti ini. Keredaan Allah kita sulami, keberkatan akan kita peroleh, in shaa Allah. Akhir kalam, ingatan untuk diri saya pesanan jua kepada semua;

Makan sirih berulas pinang,
Pinang berasal dari Seputih;
Meski hanya seurat benang,

Tetap dijelas ke mana dialih.

 

Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar

Dekan, Fakulti Pengajian Pendidikan.